Okinawa dilanda gelombang keenam Covid-19. foto Reuters

TOKYO – Kerajaan Jepun sedang bersiap sedia untuk mengisytiharkan separa darurat seawal minggu ini di Okinawa berikutan peningkatan jumlah kes koronavirus, kata akhbar Mainichi hari ini.

Ia akan menjadi pengisytiharan pertama sejak 30 September, apabila Jepun menarik balik semua darurat dan separa darurat yang telah berkuat kuasa pada tahun lalu.

Jumlah kes koronavirus harian baharu di Jepun meningkat melepasi 1,000 semalam buat kali pertama dalam tempoh tiga bulan, dengan 225 kes di Okinawa menjadikannya salah satu bahagian negara yang paling teruk dilanda wabak itu.

Mainichi melaporkan, Gabenor Okinawa, Denny Tamaki telah memberitahu Ketua Setiausaha Kabinet, Hirokazu Matsuno bahawa dia sedang mempertimbangkan untuk meminta keadaan separa darurar termasuk langkah seperti mengehadkan waktu buka restoran dan bar.

Matsuno berkata, kerajaan akan bertindak balas dengan segera, lapor akhbar itu.

Okinawa telah memasuki “gelombang keenam” koronavirus, kata Tamaki kepada pemberita semalam, sambil menyatakan varian Omicron sangat mudah dijangkiti.

Sebanyak 225 kes Covid-19 di Okinawa adalah yang tertinggi dalam tempoh lebih tiga bulan.

Menurut Tamaki, jangkitan di dalam pangkalan tentera Amerika Syarikat di wilayah itu terus meningkat. – Reuters