Gambar hiasan. - Foto SYAFIQ AMBAK

GEORGE TOWN – Polis Kontinjen Pulau Pinang khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan memperhebatkan operasi membanteras sindiket penyeludupan, pengedaran serta penagihan dadah di negeri ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya akan meningkatkan risikan sekali gus melancarkan operasi besar-besaran bagi mengesan serta mencegah kegiatan haram itu secara berterusan di negeri ini.

Jelas beliau, trend pengedaran dadah masih berada ditahap membimbangkan selari dengan kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara baru-baru ini yang mana nilai rampasan dadah seluruh negara mencecah hampir RM1 billion sekali gus peningkatan rampasan sebanyak RM403.45 juta.

Mohd Shuhaily (tengah).

“Bagi negeri Pulau Pinang, kita berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM113.92 juta sepanjang tahun lalu dan ia sekali gus menunjukkan peningakatan rampasan sebanyak RM65.18 juta berbanding tahun 2020 iaitu RM48.74 juta.

“Dari segi tangkapan pula, seramai 7,688 orang telah ditahan sepanjang tahun 2021 yang mana seramai 1,976 orang ditahan di bawah kategori bekalan dan diikuti dengan pemilikan (4,197) dan urin (1,515).

“Sekiranya kita mengambil dari segi kejayaan ia adalah sesuatu amat positif dari sudut pembenterasan, namun dari sudut kerakusan pengedar-pengedar dadah ini jelas mendedahkan bahawa operasi mereka tidak terjejas mahupun terkesan dengan wabak Covid-19,” kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Pehimpunan bulanan dan lafaz ikrar bagi bulan Januari 2022 Kontinjen Pulau Pinang di Padang Kawad Pasukan Simpanan Polis Persekutuan, Ayer Itam di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, jenayah pengedaran dan pengunaan dadah sepanjang tempoh Covid-19 tidak melihatkan penurunan sekiranya dilandaskan kepada kejayaan rampasan kerana masih berlaku kegiatan haram itu walaupun wujud kehadiran polis di lapangan.

“Saya percaya dengan Fasa Pelan Pemulihan Negara yang semakin longgar ini, kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah akan terus meningkat dengan pelbagai modus operandi baharu.

“Sehubungan itu, adalah menjadi harapan saya supaya semua pegawai dan anggota JSJN Pulau Pinang untuk meningkatkan maklumat-maklumat risikan, operasi mengesan dan mencegah yang berterusan di negeri ini untuk tahun 2022,” tegas Mohd Shuhaily. – MalaysiaGazette