KUALA LUMPUR – Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir di enam negeri sehingga petang ini kekal 465 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tiada kes baharu dilaporkan di enam negeri yang dilanda banjir hari ini.
Beliau berkata, sehingga jam 3 petang, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, jumlah Pusat Perpindahan Sementara (PPS) yang masih beroperasi adalah 147.
PPS yang masih beroperasi itu ialah 73 di Johor, 24 di Sabah, 22 di Pahang, 15 di Negeri Sembilan, 11 di Melaka dan dua di Selangor.
“Enam negeri yang masih berdepan dengan banjir iaitu Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah dengan keseluruhan mangsa yang terjejas seramai 11,355 orang.
“Jumlah kes positif Covid-19 di PPS setakat ini kekal kepada 15 kes dan tiada kes baharu dilaporkan,” katanya dalam kenyataan kepada media lewat petang ini.
Mengenai jumlah kluster Covid-19 di PPS sepanjang banjir, Dr. Noor Hisham berkata, hanya satu kluster dilaporkan dan tiada pertambahan kluster baharu hari ini.
Pada hari ini juga, kata beliau, sebanyak 58 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir iaitu jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI) sebanyak 32 kes dengan jumlah kumulatif 1,398 kes.
Katanya, bagi kes penyakit kulit pula sebanyak 20 kes (kumulatif 587 kes), diikuti Gastroenteritis akut (AGE) enam kes (kumulatif 263 kes), konjunktivitis (kumulatif 16) serta penyakit tangan, kaki dan mulut (kumulatif enam kes).
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya memaklumkan status risiko Covid-19 kepada anggota penyelamat sekiranya disahkan positif atau dikenal pasti sebagai kontak rapat agar tindakan sewajarnya dapat diambil semasa proses pemindahan dan penyelamatan.
Katanya, orang ramai perlu sentiasa mematuhi SOP dan amalan norma baharu semasa proses pemindahan dan sepanjang tempoh berada di PPS. – MalaysiaGazette