KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, membuktikan beliau telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 termasuk dos penggalak.
Beliau menafikan dakwaan terhadapnya yang tular di laman media sosial dengan menunjukkan status vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera di telefon bimbitnya, pada akhir sidang media yang diadakan hari ini.
Terdahulu menerusi Facebook, Khairy Jamaluddin berkata, beliau telah menerima mendapat suntikan dos pertama vaksin Sinovac pada 18 Mac 2021.
Malah katanya, beliau merupakan individu pertama di Malaysia menerima vaksin tersebut.
Jelas Khairy Jamaluddin, beliau mendapatkan suntikan dos kedua pada 8 April 2021 dan menerima suntikan dos penggalak vaksin Comirnaty keluaran Pfizer pada September lalu sebelum berlepas ke Himeji, Jepun bagi Mesyuarat Jawatankuasa Rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WPRCM) Ke-72.
Malah menurutnya, pengambilan dos pertamanya turut disiarkan secara langsung di saluran televisyen sebelum ini.
Tular tangkapan layar di Facebook, memaparkan temu janji vaksinasi Menteri Kesihatan itu sebagai sedang diproses sementara butiran lain seperti lokasi pusat vaksin, tarikh dan masa janji temu tidak dinyatakan.
Menafikan sekeras-kerasnya tangkapan layar berkenaan, Khairy Jamaluddin dalam masa sama meminta orang ramai tidak terpengaruh dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menidakkan usaha vaksinasi negara. – MalaysiaGazette