Home Utama Rakyat kena bersedia kenaikan harga ayam, telur selepas 4 Februari ini

Rakyat kena bersedia kenaikan harga ayam, telur selepas 4 Februari ini

JASIN – Rakyat perlu bersedia kemungkinan berlaku kenaikan harga ayam dan telur tidak lama lagi bagi mengimbangi kebajikan antara pengguna dan penternak di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kenaikan itu jika berlaku bagaimanapun hanya selepas tamat Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) 4 Februari ini.

Menurutnya, keputusan itu dicapai hasil sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan (MoF), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Agrobank dan persatuan penternak di Putrajaya semalam.

“Semalam kita sudah bincang dan persatuan penternak juga mengeluh harga ternakan dan kos operasi dikatakan meningkat termasuk kos pengimportan dedak ayam.

“Sekarang harga runcit maksimum ayam RM9.10 sekilogram itu dikatakan rendah dan kita pertimbangkan sebabnya KPDNHEP ini selain jaga pengguna, kita juga harus bela nasib peniaga.

“Saya harap pengguna juga dapat sama-sama memahami situasi ini kerana kalau peniaga tak dapat teruskan mugkin kita tiada bekalan ayam dan telur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau mangsa banjir di pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah KPDNHEP Melaka Norena Jaafar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, kementerian bagaimanapun sentiasa mencari mekanisme terbaik untuk menjaga kepentingan pengguna dan penternak dan kenaikan jika berlaku hanya selepas SHMKM ditamatkan.

Ditanya, adakah itu bermakna pengguna perlu bersedia berdepan kemungkinan berlaku kenaikan ayam dan telur, beliau tidak menafikannya.

“Ya (kenaikan harga) betul, saya harap semua rakyat dan pengguna faham sebab masalah ini kompleks bukan semudah kita nak harga yang terlalu murah tapi penternak tiada pengeluaran jadi akhirnya kita tiada bekalan.

“Tapi kemungkinan kenaikan ini juga bergantung kerana kita juga ada stategi lain termasuk mengimport ayam dari luar yang mana jika dilaksanakan, akan berlaku persaingan harga menyebabkan harga ayam stabil dan tidak berlaku kenaikan,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.