Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi (dua kiri) bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim (dua kanan) serta ahli yang lain bergambar selepas menyerahkan memorandum kepada Kementerian Sumber Manusia untuk menangguhkan proses membawa pekerja asing ke Malaysia dan memberikan keutamaan kepada rakyat Malaysia dalam Sektor 3D di Kompleks D, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 07 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) digesa menangguhkan proses kemasukan pekerja asing dari Bangladesh ke Malaysia sehingga satu kajian terperinci mengenai jumlah keperluan sebenar dikeluarkan.

Permohonan itu diusulkan Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (Semboyan) dan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang berpendapat tindakan tersebut tidak wajar dengan situasi lambakan pekerja asing dalam negara ketika ini.

Pengerusi Semboyan, Yusuf Azmi berkata, usaha kerajaan membawa masuk pekerja asing ke Malaysia pada saat kadar pengangguran negara yang masih tinggi dalam kalangan warga tempatan adalah satu tindakan yang tidak tepat.

“Apa sebab nak bawa masuk warga Bangladesh, kita sekarang ini warga tempatan pun masih tiada kerja.

“Pengangguran semakin meningkat, dua juta lebih yang menganggur. Kami mohon kepada Yang Berhormat Menteri agar tangguhkan kemasukan pekerja asing ke Malaysia,” katanya pada sidang media selepas penyerahan memorandum di KSM, di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hassim berkata, kerajaan perlu memberi insentif cukai kepada majikan yang menggajikan pekerja tempatan dalam sektor kotor, bahaya dan sukar (3D) agar kebergantungan kepada pekerja asing dapat dikurangkan.

Terdahulu, kerajaan telah bersetuju untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Bangladesh untuk pengambilan pekerja warga asing bagi bekerja di Malaysia berkuat kuasa selama lima tahun hingga Disember 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast