Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases recoveries
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Penularan wabak Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima negeri yang dilanda bencana itu dalam keadaan terkawal.

Ini berikutan tiada kes baharu positif Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam sehingga jam 3 petang ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh itu juga sebanyak 76 PPS masih beroperasi dengan 5,304 mangsa banjir melibatkan lima negeri.

Katanya, negeri yang masih mengalami banjir dan 76 PPS yang beroperasi itu ialah Johor dengan 56 PPS, diikuti Pahang (10), Sabah dan Melaka masing-masing empat serta Negeri Sembilan dua PPS.

“Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di PPS masih kekal 15 kes dengan tiada kes baharu dilaporkan hari ini.

“Begitu juga jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir kekal kepada 465 kes dengan tiada kes baharu direkodkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai jumlah kluster Covid-19 di PPS, katanya, setakat ini hanya satu kluster dikesan, tetapi tiada pertambahan kluster baharu hari ini.

Hari ini kata Dr. Noor Hisham, sebanyak 56 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir iaitu 33 kes bagi jangkitan saluran pernafasan akut, sembilan kes penyakit kulit dan 14 kes akut gastroenteritis.

Manakala konjuntivitis dan penyakit tangan, kuku dan mulut tiada direkodkan, menjadikan jumlah kumulatif bagi lima penyakit itu sebanyak 2,359 kes.

Berhubung situasi jangkitan penyakit Covid-19 sehingga jam 12 tengah hari ini, kata beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan kes sembuh sebanyak 3,447 kes dengan 2,708,739 atau 97.4 peratus kes kumulatif.

Kes baharu pula sebanyak 3,381 kes dengan 2,780,080 kes kumulatif iaitu 319 kes import membabitkan 284 warganegara dan 35 bukan warganegara.

Bagi kes tempatan, sebanyak 3,062 kes iaitu 2,963 warganegara dan 99 kes bukan warganegara.

“Jumlah kluster pula sebanyak 6,156 kluster, manakala enam kluster baharu, sebanyak 5,974 kluster yang telah tamat dan 182 kluster aktif. – MalaysiaGazette