BAYAN LEPAS – Lebih 50 penduduk rumah teres Changkat Sungai Ara di sini mendakwa mereka berdepan situasi air najis masuk ke dalam rumah susulan sistem pembentungan di kawasan tersebut kerap tersumbat.

Selain itu, mereka juga mendakwa situasi lebih buruk bakal menimpa pembeli kediaman mewah itu susulan beberapa blok pangsapuri menempatkan 750 unit sedang dalam pembinaan akan turut kongsi paip pembentungan yang sama.

Rata-rata penduduk menyatakan kekecewaan apabila bantahan mereka berhubung pembinaan pangsapuri serta isu paip pembentungan itu tidak dipeduli wakil rakyat serta beberapa exco kerajaan negeri selepas aduan rasmi berkaitan isu tersebut diutarakan.

Seorang penduduk, Kathrina Tan, 58, berkata, dia dan semua ahli keluarganya dibelenggu bau busuk di dalam rumah sejak dua bulan lalu sebelum mereka membelanjakan ribuan ringgit bagi mengenal pasti puncanya.

Kathrina Tan.

Jelasnya, hasil pemeriksaan pihak berkaitan mendapati sistem pembetungan yang terletak berhampiran rumahnya tersumbat sekali gus menyebabkan air najis mengalir dari bahagian dapur hingga ke ruang parkir kereta.

“Saya difahamkan, semua najis penduduk kawasan ini akan mengalir ke sistem pembentungan berhampiran rumah saya itu dan sekiranya sudah penuh atau tersumbat ia akan mengalir sekali gus berbau.

Penduduk Changkat Sungai Ara mengadakan bantahan aman berhubung isu paip pembentungan tersumbat hingga air najis memasuki rumah serta pembinaan pangsapuri berhampiran kediaman mereka di Pulau Pinang hari ini.

“Selain saya, beberapa jiran berhampiran turut berdepan situasi sama dan ada yang lebih teruk yang mana air najis itu melimpah dalam tandas rumah.

“Isu yang timbul di sini ialah sistem pembentungan sedia ada tidak mampu menampung najis penduduk sekarang jadi tambahan 750 unit pangsapuri yang dalam pembinaan akan menyebabkan kami berdepan risiko lebih teruk,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui hari ini.

Penduduk menunjukkan kerja-kerja pemasangan paip pembentungan dilakukan hingga menganggu lalu lintas keluar masuk rumah.

Terdahulu, kira-kira 50 penduduk Changkat Sungai Ara bersama wakil parti Gerakan Pulau Pinang mengadakan bantahan aman berhubung masalah yang membelnggu mereka.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Chuah Chen Chuan, 38, mendakwa mereka mendiami kawasan perumahan itu sejak tahun 2013 sebelum satu bantahan pembinaan pangsapuri dilakukan hingga ke peringkat lembaga rayuan pada tahun 2016.

Jelas beliau, pada tahun 2017, pemaju membuat akuan janji tiada sebarang kacau ganggu dibenarkan di kawasan perumahan elit itu namun kini pemaju dilihat melanggar keputusan lembaga rayuan tersebut dan tiada tindakan diambil oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

“Sejak Disember lalu, wakil penduduk termasuk saya ‘memanjat’ pejabat beberapa wakil rakyat dan exco kerajaan negeri namun tiada seorang yang berjumpa dengan kami sebaliknya pembantu mereka memberi pelbagai alasan berhubung isu yang diutarakan.

Chen Chuan menunjukkan kesan retak pada rumah penduduk yang didakwa akibat tanah mendap susulan pembinaan pangsapuri berhampiran.

“Mereka layan kami ibarat bola dengan mendakwa aduan kami bukan di bawah kuasa mereka. Memandangkan MBPP serta wakil rakyat lepas tangan penduduk nekad bawa isu ini kepada pengetahuan umum bagi mendapatkan penjelasan lanjut kerana kami bimbang ada tangan ghaib disebalik isu pembinaan pangsapuri tersebut.

“Kami minta agar isu ini dapat diselesaikan segera kerana ia akan turut menjejaskan kesihatan penduduk memandangkan paip air serta paip pembentungan di tempatkan di laluan sama,” kata Chen Chuan.

Turut menyatakan pandangan sama, Lim Poh Kim, 37, yang mendakwa  tanah sekitar kawasan perumahan itu mula mendap susulan pembinaan pangsapuri serta pengorekan tanah bagi pemasangan sambutan paip pembentungan dilakukan pihak pemaju.

Poh Kim.

“Kenderaan besar menggunakan laluan rumah penduduk untuk ke lokasi projek sekali gus menyebabkan jalan rosak serta bimbang keselamatan kanak-kanak main depan rumah.

“Lebih teruk, beberapa rumah turut retak selepas projek ini dilaksanakan dan kami bimbang tanah mendap akan berlaku lebih teruk selepas ini sekali gus memaksa kami untuk pindah atau harga rumah merudum daripada harga asal yang bernilai jutaan ringgit,” kata Poh Kim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast