MELAKA – “Selepas bangun solat Subuh, saya terus tak tidur sebab nak jadi peserta paling awal gunting rambut percuma hari ini.”
Itu semangat pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Al Ahmadi, Azim Saifullah Abdullah,18, yang menjadi peserta pertama program gunting rambut percuma anjuran Japerun Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor di sini hari ini.
Menurutnya, walaupun tahu program terbabit diadakan sehingga petang, dia memilih untuk hadir awal pagi kerana tidak mahu menunggu terlalu lama memandangkan ianya percuma yang pastinya mendapat sambutan ramai.
“Mujurlah saya cepat dan gembira apabila menjadi peserta pertama daripada kira-kira 47 orang kanak-kanak dan remaja lain yang menunggu giliran.
“Terima kasih kepada penganjur kerana walaupun kos gunting rambut ini mungkin cuma RM5 di luar, namun ia sedikit sebanyak dapatlah membantu keluarga,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, program bermula pukul 9 pagi hingga 4.30 petang itu mendapat 150 penyertaan yang menyasarkan keluarga golongan berpendapatan rendah atau B40.
“Program sebegini adalah salah satu usaha membantu meringankan beban mereka terutamanya dalam kalangan mangsa banjir baru-baru ini yang mana ia sedikit sebanyak diharap dapat meringankan beban mereka.
“Mungkin pada sesetengah orang RM5 itu kecil, tapi jika mempunyai anak yang ramai seperti empat orang contohnya, RM20 itu dapatlah membantu mereka untuk berjimat,” katanya.- MalaysiaGazette