GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengulangi gesaan terhadap kerajaan bagi mendapatkan dana antarabangsa untuk adaptasi iklim.
Presidennya, Meenakshi Raman berkata, langkah adaptasi itu merujuk kepada tindakan untuk menyelaraskan sistem ekologi, sosial atau ekonomi bagi menangani kesan perubahan iklim yang dijangka akan berlaku seperti kejadian cuaca yang melampau.
Kata beliau, SAM sebelum ini telah menekankan keperluan untuk mempertingkatkan usaha Malaysia dalam mendapatkan dana-dana antarabangsa bagi menyesuaikan diri dengan perubahan iklim dan mempertingkatkan perlindungan hutan serta biodiversiti negara.
Tegas beliau, tujuannya adalah untuk tidak menggalakkan lagi negeri-negeri daripada melakukan pengubahan guna tanah hutan yang akan memburukkan lagi masalah banjir.
“Dana-dana antarabangsa yang ditubuhkan di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFCCC) boleh didapati daripada Dana Iklim Hijau (GCF), Dana Adaptasi, Fasiliti Alam Sekitar Sedunia (GEF) dan Dana Perubahan Iklim Khas (SCCF).
“Matlamat dana-dana antarabangsa ini adalah untuk membantu negara-negara membangun dalam usaha mereka untuk mengurangkan pelepasan gas-gas rumah kaca iaitu tindakan yang dipanggil mitigasi dan membuat adaptasi dalam menangani kesan-kesan perubahan iklim,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah Meenakshi, menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020), kerajaan memperuntukan RM7.24 billion bagi pelaksanaan langkah-langkah mempertingkatkan adaptasi dan daya ketahanan negara terhadap perubahan iklim, namun banjir baru-baru ini dengan jelas menunjukkan bahawa apa sahaja langkah yang telah diambil setakat ini masih lagi jauh dari mencukupi.
“Kejadian banjir baru-baru ini telah mendedahkan banyak kelemahan dalam keupayaan negara untuk menangani kejadian cuaca melampau dan bencana.
“Kita mesti mempertingkatkan usaha dengan segera untuk menyokong pelbagai inisiatif yang diperlukan untuk lebih berupaya menangani kejadian cuaca melampau pada masa depan dan kesan-kesan buruk perubahan iklim.
“Tanggapan bahawa negara kita tidak terdedah kepada bencana perlulah diubah kerana iklim sedunia kini ternyata sedang berubah,” kata beliau.
Mengulas lanjut Meenakshi berkata, Malaysia ketinggalan dalam mendapatkan dana iklim bagu usaha adaptasi berbanding negara ASEAN lain.
Jelas beliau, Vietnam telah mendapat USD 36.3 juta daripada GCF dan AF bagi projek adaptasi diikuti dengan Thailand memperolehi geran USD 17.5 juta daripada GCF untuk mempertingkatkan daya ketahanan perubahan iklim mereka.
“Namun Malaysia hanya memperolehi geran USD 3 juta daripada GCF sedangkan setiap negara membangun berhak untuk memperolehinya bagi membangunkan Pelan Adaptasi Nasional (NAP).
“Kita mesti memahami bahawa dana ini hanyalah untuk penyediaan rancangan tersebut dan tidak termasuk dana yang diperlukan untuk pelaksanaan segala tindakan di bawah rancangan itu.
“NAP dijangka mengambil masa beberapa tahun untuk disediakan dan sumber-sumber kewangan tambahan akan diperlukan pada masa hadapan untuk segala pelaksanaan tindakannya pula. Sehubungan itu, kerajaan persekutuan dan negeri-negeri perlu mempunyai rancangan-rancangan dan projek-projek interim yang boleh digunakan untuk memperolehi dana-dana antarabangsa ini bagi projek-projek adaptasi,” kata Meenakshi. – MalaysiaGazette