KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tampil membuat permohonan maaf kepada Mohd Daud Abu Hasan yang terjatuh selepas motosikal yang ditunggangnya terlanggar lubang.
Mohd Daud berkata, petugas DBKL yang datang ke rumahnya di Serendah pada Sabtu lalu turut mengaku kesilapan mereka gagal memberi amaran awal kepada pengguna jalan raya tentang kewujudan lubang yang membahayakan itu.
Beliau memberitahu, DBKL turut memberi jaminan dia boleh membuat tuntutan kos yang ditanggung untuk membaiki motosikal dan kecederaan yang ditanggungnya.
“Mereka (pihak DBKL) datang ke rumah semalam dalam pukul 2 petang, mereka memohon maaf dan kata saya boleh buat tuntutan.
“Mereka beritahu saya dokumen yang saya perlu sediakan untuk buat tuntutan nanti seperti salinan laporan polis, resit tanggung kecederaan saya dan resit membaiki motosikal,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Pada Selasa yang lalu, motosikal ditunggang Mohd Daud yang dalam perjalanan ke tempat kerja telah terhumban selepas melanggar lubang besar di Jalan Kinabalu.
Akibat kemalangan berkenaan, penjawat awam berusia 57 tahun berkenaan patah tulang tangan serta cedera di bahagian muka, tangan dan lutut.
Susulan kejadian berkenaan, DBKL menutup jalan berkenaan untuk melakukan kerja-kerja membaiki selama tiga hari.
Bersyukur dan menghargai keprihatinan DBKL, Mohd Daud berharap mangsa kemalangan yang lain diakibatkan oleh lubang di jalan berkenaan akan mendapat pembelaan sepertinya.
Beliau turut berharap kemalangan yang dialaminya baru-baru ini tidak akan berulang lagi.
“Saya harap perkara sebegini tidak berulang lagi dan harap yang lain juga boleh dapat pembelaan setimpal,” tambah beliau.-MalaysiaGazette