fake Covid-19 vaccine cert Dr Kasemani Embong Rohaimi Bin Md Isa and showing the fake Covid-19 vaccination certifications seized from a private clinic in Terengganu today.
Terengganu Police Chief, Deputy Commissioner Datuk Rohaimi Bin Md Isa and Terengganu State Health Director Datuk Dr Kasemani Embong showing the fake Covid-19 vaccination certifications seized from a private clinic in Terengganu today. Rohaimi Bin Md Isa menunjukkan sijil vaksin palsu yang dirampas dari sebuah klinik swasta di IPK Terengganu hari ini.

KUALA LUMPUR – Aktiviti seorang doktordi sebuah klinik swasta di sini yang disyaki mengeluarkan 1,900 sijil pemberian suntikan vaksin Covid-19 palsu akhirnya terbongkar.

Suspek berusia 51 tahun itu berjaya ditahan oleh Polis Kontinjen Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dalam serbuan di Marang, Sabtu lalu.

Ketua Polis Terengganu, Deputi Komisioner Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, klinik suspek diserbu selepas menerima aduan orang awam tentang kegiatan klinik tersebut.

Siasatan awal polis mendapati seramai 1,900 individu telah berurusan dengan suspek bagi tujuan mendapatkan vaksinasi dan  polis masih  melakukan siaasatan mendalam untuk menentukan jumlah sebenar individu yang hanya mendapat sijil vaksinasi palsu tanpa mengambil suntikan dua dos vaksin.

“Dalam siasatan itu, polis difahamkan setiap individu yang ingin mendapatkan sijil vaksinasi Covid-19 palsu ini dikehendaki membayar wang antara RM400 hingga RM600 berbanding harga sebenar suntikan RM300 sahaja.

“Polis juga percaya terdapat juga individu yang datang dari luar negeri (Terengganu) ini  untuk mendapatkan sijil palsu,” kata beliau dalam sidang media hari ini.

Tambah beliau, siasatan polis juga dapat mendadahkan kebanyakan pelanggannya berurusan secara dalam talian dengan suspek untuk mendapatkan sijil palsu itu.

Malah, kesemua sijil palsu yang diuruskan menerusi dalam talian itu akan diposkan oleh suspek kepada pelanggan.

“Polis juga difahamkan ada individu yang mendapat maklumat doktor itu menyediakan khidmat mengeluarkan sijil tanpa memberi suntikan vaksin, mereka sanggup datang jauh dari utara iaitu Kedah dan juga Kuala Lumpur,” ujarnya.

Rentetan itu, Rohaimi berkata, pasukannya sedang cuba mengakses emel dan segala data peribadi suspek yang disimpan dalam komputer ribanya yang dirampas dari klinik berkenaan untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai pelanggan dan sijil palsu yang dijual secara dalam talian itu.

Katanya, doktor itu dipercayai  giat menjual sijil palsu itu secara bersendirian di dalam bilik rawatannya tanpa bantuan kakitangan lain.

Suspek juga disyaki menggunakan khidmat ejen sebagai orang tengah dengan membayar komisen sebanyak RM50 untuk mempromosikan khidmat penyediaan sijil vaksinasi palsu Covid-19 yang disediakan di kliniknya.

Suspek sedang disiasat lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

Rohaimi menegaskan, perbuatan doktor perubatan yang bertauliah itu bukan sahaja merupakan satu jenayah serius, tetapi juga boleh membawa kemudaratan, musibah dan bencana terhadap kesihatan masyarakat sejagat.

Dalam sidang media yang sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong menyatakan klinik swasta itu telah dibenarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk memberikan suntikan vaksinasi Covid-19 secara berbayar kepada awam bermula September tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, hasil semakan pihak kesihatan negeri mendapati suspek telah membuat permohonan untuk menjadikan klinik yang diuruskannya itu sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19, tetapi belum mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kita juga mendapati ada klinik yang masih belum dilantik sebagai PPV tetapi dibenarkan untuk memberikan suntikan vaksin Covid-19 secara berbayar membabitkan vaksin keluaran Sinovac sahaja.

“Namun itu hanya dilaksanakan dulu (bayar untuk suntikan vaksin) tetapi sekarang kita sudah tidak mempunyai vaksin yang mencukupi untuk diberikan secara percuma kepada masyarakat setakat ini di PPV yang dilantik.

“Kita (jabatan ksihatan) akan menunggu hasil siasatan polis untuk membolehkan tindakan lanjut yang tegas diambil terhadap doktor dan klinik swasta ini,” ujar beliau.

Jika suspek didapati bersalah berdasarkan siasatan polis, dia boleh digantung atau dibatalkan pendaftaran sebagai pegawai perubatan dan klinik di bawah pemilikannya yang didaftarkan di bawah Akta Kemudahan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 Akta 5-8-6 turut berisiko dibatalkan dan diarah tutup selama-lamanya.

Selain itu, di bawah Akta Pencegahan dan Pegawaian Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), mana-mana individu yang memiliki sijil vaksinasi Covid-19 tanpa suntikan sebenar boleh dikenakan tindakan kompaun sekiranya terbukti terlibat dalam penipuan ini.

“Jabatan Kesihatan juga mempergiatkan usaha bersama polis untuk mengenal pasti ‘pelanggan’ sindiket pemalsuan sijil vaksin ini dan akan diberi nasihat serta kaunseling supaya mereka tampil segera menerima suntikan vaksin,” katanya. – MalaysiaGazette