Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin melancarkan gimik pelancaran Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pejabat dan Pusat Latihan PDRM di Pusat Latihan Unit Tindak Khas Batalion 4, Pasukan Gerakan Am(PGA), Semenyih, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 10 JANUARI 2022

KAJANG – Unit Tindakhas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencipta sejarah apabila bakal memiliki sebuah Pejabat Pentadbiran dan Pusat Latihan Para UTK yangberteknologi canggih serta serba moden sejak 47 tahun penubuhannya.

Projek  yang bernilai RM157 juta itu telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan ia akan dibangunkan di tanah berkeluasan 10.11 hektar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata,pusat latihan UTK yang pertama di negara ini dilaksanakan untuk menangani kekangan UTK yang selama ini terpaksa menjalani latihan di pusat dan premis latihan milik pasukan keselamatan lain.

Katanya, sejak penubuhannya 1 Januari 1975, iaitu hampir 50 tahun, pasukan UTK PDRM telah ditempatkan dan beroperasi dari Blok 23 dan Blok 24 JKR yang terletak di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Walau bagaimanapun, dengan peningkatan penjawatan UTK, PDRM terkini seramai 420 orang pegawai dan kakitangan, kedua-dua blok tersebut tidak lagi dapat menampung jumlah bilangan anggota tersebut.

“Namun, pada tahun 1996 sebuah bangunan tambahan telah dibina di lokasi yang sama bagi menampung kekuatan semasa pegawai dan anggota tersebut, malangnya ia masih lagi tidak berkemampuan untuk menampung kesemua bilangan pegawai dan kakitangan sedia ada.

“Ketiadaan lokasi yang spesifik berpusat untuk pasukan UTK PDRM menjalankan latihan telah menyebabkan kebanyakan latihan terpaksa dilaksanakan di beberapa lokasi/premis milik pasukan keselamatan lain,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pejabat dan Pusat Latihan UTK di Batalion 4, PGA Semenyih di sini pagi ini.

Hamzah Zainudin memengang senjata sempena gimik pelancaran Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pejabat dan Pusat Latihan PDRM di Pusat Latihan Unit Tindak Khas Batalion 4, Pasukan Gerakan Am(PGA), Semenyih, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 10 JANUARI 2022

 

Antara kemudahan canggih yang akan memantapkan pusat latihan khusus Para Operatif UTK kelak adalah Bilik Keselamatan Individu Penting (VVIP) dan laluan bawah tanah, pejabat dan bengkel cawangan kenderaan, gudang simpanan kenderaan pasukan, bahagian persenjataan, bangunan stor, rumah penyimpanan kelopak peluru dan menara tinjau.

Tambah beliau, bagi memastikan kemampuan UTK PDRM kekal unggul sejajar dengan perkembangan teknologi dan keperluan dunia pertahanan semasa, KDN telah meletakkan projek ini sebagai satu projek berkeutamaan tinggi kali ini.

“Kementerian percaya dengan adanya kompleks pejabat dan pusat latihan yang lengkap canggih dan serba moden ini, pasukan UTK PDRM akan dapat melaksanakan penugasan harian dengan lebih selesa dan tersusun.

“Di samping itu, kompleks latihan ini juga membolehkan pasukan PDRM, khususnya UTK untuk mendapatkan latihan dan pendedahan yang lebih baik bagi menghadapi sebarang ancaman oleh kumpulan pengganas/penjenayah bersenjata api,” ujarnya.

Unit Tindak Khas melalukan petunjukkan pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pejabat dan Pusat Latihan PDRM di Pusat Latihan Unit Tindak Khas Batalion 4, Pasukan Gerakan Am(PGA), Semenyih, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 10 JANUARI 2022.

Projek berkenaan pada asalnya dijadual siap bertempoh 38 bulan iaitu pada 19 MaC 2024 kerja yang dimulakan pada Ogos lalu terpaksa namun terpaksa ditangguhkan oleh kontraktor yang diberikan oleh JKR secara tender terbuka kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini dilanjutkan untuk siap 18 Mei 2024.

“Saya berharap projek selama 176 minggu itu dapat disiapkan oleh kontraktor yang dipertanggungjawabkan tanpa sebarang masalah selepas ini mengikut jadual yang dianjakkan 18 Mei 2024,” tegasnya.’

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam ucapan beliau merakamkan penghargaan kepada KDN yang memberi lampu hijau kepada projek pembinaan tersebut akhirnya.

Pada awalnya, kata beliau tapak pembinaan kompleks baharu ini dicadangkan di Shah Alam, namun sepanjang tempoh dari tahun 1987 sehingga 2016, lokasi projek tersebut telah bertukar dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

“Alhamdulillah, segala usaha dan jerih perih serta penantian kepimpinan UTK sejak tahun 1987 akhirnya terbalas, apabila pada tahun 2016, tapak projek tersebut diputuskan di Kem Batalion 4, PGA Semenyih.

“Projek pembinaan kompleks baharu UTK ini, jelas mencerminkan keprihatinan Kerajaan terhadap keperluan Pasukan, dalam menyediakan prasarana yang kondusif khususnya buat pasukan elit “pemakai beret maroon” ini.

“Insya-Allah, apabila siap kelak, sebuah kompleks pentadbiran serta operasi akan tersergam indah di tapak ini,” katanya. -MalaysiaGazette