KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang melihat ruang dan peluang untuk melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksinasi (VTL) dengan beberapa negara selain Singapura pada masa hadapan.
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pelaksanaan VTL dengan negara lain itu bergantung kepada situasi semasa pandemik Covid-19.
“Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Wisma Putra telah membentangkan perbincangan terkini dengan rakan sejawat masing-masing di Singapura serta cadangan Kementerian masing-masing bagi menambahbaik inisiatif ini pada masa hadapan.
“Mereka sedang melihat ruang dan peluang untuk melaksanakan VTL dengan beberapa lagi negara termasuk Indonesia dan Thailand.
“Walaubagaimanapun ia bergantung kepada situasi Covid-19 bukan sahaja di negara-negara berkenaan tetapi juga di negara kita,” katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi sambutan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina akan diumumkan kementerian terlibat dalam masa terdekat.
“Hari ini pihak berkepentingan bersama Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) duduk semeja bagi membuat penelitian peringkat akhir SOP bagi perayaan Thaipusam yang bakal disambut 17 Januari ini dan menyelaras SOP bagi perayaan Tahun Baharu Cina pada 1 Februari.
“Perbincangan sebentar tadi berjalan dengan amat baik dan SOP bersesuaian masih sedang diteliti bersama oleh semua pihak berkepentingan.
“Ia akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Kementerian yang berkaitan selepas dimaklumkan kepada semua stakeholders,” katanya. – MalaysiaGazette