PENULIS yang baharu pulang dari luar negara, dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC) Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan bermula 14 hingga 23 Ogos 2021.

Pelbagai pengalaman dan peristiwa menarik dilalui terutama mengenai kehidupan serta kisah-kisah kemanusiaan para penghuni di PKRC Nilai.

SEBAIK sahaja mendarat di KLIA setelah tiba dari Dubai, suhu badan penulis dikesan tinggi melebihi 37.6 darjah Celcius (C), menyebabkan penulis perlu menjalani ujian RTK dan PCR.

Bermula dari situ, penulis ditahan sementara di bilik perubatan KLIA. Ketika itu terdapat tiga kakitangan lapangan terbang termasuk pasangan suami isteri berusia 30-an yang telah disahkan positif Covid-19 dalam bilik berkenaan.

Penulis diberitahu selain mereka bertiga, ramai lagi kakitangan lapangan terbang yang positif Covid dari sehari ke sehari.
Dalam bilik itu, terdengar perbualan pasangan suami isteri berkenaan dengan kakitangan barisan hadapan KLIA, merayu agar si suami dikuarantin di rumah kerana mereka mempunyai seorang anak lelaki berusia 7 tahun yang tinggal keseorangan.

Atas belas kasihan, akhirnya si suami dibenarkan juga dikuarantin di rumah.

Sebaik sahaja mendapat berita itu, si isteri segera menelefon anaknya dan memberitahu si ayah akan pulang.

Antara perbualan ibu dan si anak:

“Adik tunggu ayah pulang ye, sekejap lagi ayah pulang tau”

“Ibu pulang sama tak?

“Nanti ibu pulanglah, tapi ayah akan pulang dulu”

“Ibu tak pulang ke, ibu pulang sama tak, kenapa ibu tak pulang,” berkali-kali si anak bertanya dalam telefon.

“Ibu dah cakap nanti ibu pulang la, sekarang ibu kena kerja di airport,” kata si ibu sambil meninggikan suara dan sejurus kemudian mematikan panggilan telefon.

Si ibu tadi terus menangis, mungkin kerana terpaksa menipu anaknya dan juga meninggikan suaranya.

Itulah naluri si anak yang seolah-olah mengetahui bahawa ibunya tidak akan pulang ke rumah.

Pasangan suami isteri itu sama-sama menangis. Suasana dalam bilik perubatan itu hanya kedengaran tangisan pasangan berkenaan.

Satu jam selepas itu, saya bersama ibu muda berkenaan yang disahkan mengandung 23 minggu dibawa menaiki ambulans dengan siren dibunyikan sebaik sahaja kenderaan bergerak.

Itulah pengalaman pertama menaiki ambulans dengan siren dibunyikan. Selama ini penulis hanya tengok sahaja orang sakit naik ambulans tetapi kali ini penulis sendiri merasainya.

Hanya penulis bersama ibu muda itu sahaja yang duduk di bahagian belakang ambulans.

Perjalanan ambulans dengan bunyi siren itu agak lancar namun setelah banyak lopak di jalan raya dan lebuh raya dilanggar menyebabkan ambulans itu seolah-olah bergegar hinggakan sesiapa sahaja yang duduk di bahagian belakang perlu memegang kuat pada kerusi di situ.

Terbayang di pemikiran penulis, apa agaknya keadaan jika ada orang sakit kemalangan dibawa dengan ambulans berkenaan.

Jika orang itu cedera 30 peratus dan dibaringkan atas katil pesakit dengan keadaan ambulans sedemikian, agaknya peratus kecederaannya bertambah dua kali ganda sebaik sahaja tiba di hospital.

Itulah keadaan sebenar ambulans berkenaan walaupun dalamnya bersih dan terurus dengan baik namun mungkin suspensi dan enjinnya memerlukan satu perubahan besar. Lebih tepat tukar baharu.

Terfikir pada penulis, sudah tiba masanya kementerian terbabit melihat semula keadaan semua ambulans yang ada di negara ini.

Mungkin juga menteri berkenaan sekali-sekala cuba-cubalah menaiki ambulans supaya mendapat gambaran yang jelas.

Kita mempunyai petugas kesihatan dan barisan hadapan yang sangat komited seperti pemandu ambulans namun sokonglah mereka ini dengan peralatan yang lebih baik.

Ambulans tadi terus menghantar ibu muda berkenaan ke pusat kesihatan di Serdang kerana dia memerlukan pemerhatian doktor pakar, dari situ saya terus dibawa ke Nilai dan tiba di PKRC kira-kira pukul 8.45 malam.

Ketika di KLIA suhu badan saya memang tinggi namun setiba di PKRC pemeriksaan sekali lagi dibuat, suhu 36.4 C manakala lain-lain pemeriksaan termasuk tekanan darah juga baik.

Walaupun semua baik, saya sendiri setuju dikuarantin di situ.

Kehadiran saya memang jadi perhatian, apa tidaknya sudahlah naik ambulans dengan siren dibunyikan. Tiba seorang diri dan malam hari.

Saya terus diberikan katil, kain cadar dan bantal.

Ketika sedang mengemas katil, hadir seorang pemuda bertanyakan khabar. Itulah perkenalan pertama saya dengan seorang penghuni di situ.

Setelah mengenali lebih lanjut, barulah saya faham bahawa pemuda itu mempunyai rutin dengan sentiasa berjalan serta bertemu penghuni-penghuni lain.

Tujuannya bagi memastikan tidak ada penghuni yang murung, menyendiri, berdiam diri, tidak boleh bangun kerana sakit dan sebagainya.

Jika ada yang tidak bangun, pemuda berkenaan akan mengejutkan penghuni sambil ajak makan dan minum. Mulia sungguh peranaan pemuda berkenaan.

Keesokan harinya, saya berkenalaan lagi dengan beberapa orang lain termasuk sekumpulan anak muda yang sentiasa membantu barisan hadapan dalam membahagi-bahagikan makanan pagi, tengah hari dan malam.

Kumpulan pemuda ini turut menyimpan sebahagian makanan untuk penghuni wanita yang transit di PKRC Nilai sebelum dihantar ke Port Dickson untuk dikuarantin.

Di satu sudut katil pula, terlihat kelibat seorang warga emas yang murung, menyendiri dan termenung. Sekejap-kejap dia menangis. Setelah disapa dia pun membuka cerita bagaimana umurnya masih panjang walaupun disahkan positif Covid-19.

“Tapi beberapa hari lalu isteri saya meninggal dunia akibat Covid-19. Kami sudah lama berumah tangga tapi pengakhirannya begini. Saya benar-benar rindukan isteri saya,’’ katanya yang berusia lebih 60-an dalam nada sebak.

Berhampiran katil saya terdengar pula perbualan telefon seorang anak muda yang berkali-kali meminta maaf kepada jirannya.
Dari perbualan itu dapatlah saya fahami bahawa isteri jirannya itu menyalahkan isteri pemuda berkenaan kerana jangkitan Covid-19.

“Abang…saya minta maaf kalau isteri saya menjadi punca abang dan isteri abang dijangkiti Covid-19. Kalau kami tahu kami positif Covid, isteri saya takkan datang bersembang dengan isteri abang,” kata pemuda beruia 20-an itu.

Dikisahkan isteri jirannya itu menyalahkan isteri pemuda berkenaan menyebabkan dia dan suaminya juga positif Covid. Pemuda dan isterinya itu berjiran dengan keluarga terbabit.

Walaupun ada jiran lain yang turut positif Covid, namun jiran berkenaan menyalahkan isteri pemuda terbabit kerana datang berkunjung dan berbual dengannya walaupun hanya di pekarangan rumah.

Jika dahulu dua keluarga itu memang rapat namun disebabkan Covid hubungan itu sudah renggang.

Terfikir di minda penulis, jiran terbabit lebih mengetahui dan mendahului para doktor bahawa mereka positif Covid kerana berpunca dari isteri pemuda berkenaan walaupun ada jiran lain yang turut positif.

Di PKRC Nilai juga terdapat seorang remaja berusia 13 tahun dari Jelebu. Bapa remaja itu terpaksa bertarung nyawa di wad kecemasan hospital akibat Covid. Manakala ibu serta tiga kakaknya yang juga positif Covid, dikuarantin di Port Dickson.

Walaupun remaja itu bersendirian namun beberapa penghuni di PKRC Nilai sentiasa mengambil berat mengenai makan minum remaja berkenaan.

Juga kisah seorang remaja berusia 12 tahun, yang ditempatkan di situ seorang diri tanpa ada ahli keluarga lain.

Remaja ini banyak berdiam diri dan tidak berbual dengan mana-mana penghuni di situ.

Disebabkan karektor remaja itu yang pendiam, beberapa pemuda yang juga penghuni di situ yang berperanan membantu barisan hadapan, setiap hari akan menyantuni remaja berkenaan sambil bertanya khabar selain menyimpankan makanan serta minuman untuknya.

Penulis turut bertemu beberapa penghuni yang telah menerima dua dos lengkap vaksin, walaupun selepas 14 hari, mereka turut disahkan positif Covid-19. Memang para penghuni di situ sering berkongsi pengalaman masing-masing.

Di PKRC Nilai juga pelbagai lagi kisah kemanusiaan dapat dilihat. Penulis mendapati survival penghuni di situ amat tinggi.

Apa tidaknya, mereka sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk makan minum, kesejukan dan sebagainya.

Seorang penghuni sempat mengadu mengenai makanan pagi, tengah hari dan malam.

“Kalau dapat makanan panas, rasanya lebih baik. Mungkin orang yang dapat tender makanan perlu memikirkan sesuatu agar makanan dalam keadaan panas.

“Juga banyakkan buah-buahan kerana penghuni di sini memerlukan makanan berkhasiat,” kata seorang kakitangan swasta.

Sepanjang di PKRC Nilai yang boleh memuatkan kira-kira 1,000 penghuni, penulis mendapati beberapa buah katil sejak sekian lama sudah rosak dan tidak boleh digunakan. Katil-katil itu hanya terdampar dan terbiar begitu sahaja.

Sementara itu, bagi barisan hadapan di PKRC Nilai, sejak awal pagi hingga tengah malam, mereka sentiasa bersedia membantu setiap penghuni di situ.

Malah, kakitangan barisan hadapan itu juga mengambil inisiatif untuk menghiburkan para penghuni termasuk mengajak mereka berkaraoke secara sukarela.

“Kita tidak mahu penghuni menghabiskan banyak masa dengan tidur atau berbaring sahaja di atas katil.

“Kami sendiri cuba menghiburkan mereka. Malah, pengumuman sentiasa dibuat jika ada penghuni yang memerlukan ubat-ubatan,” kata seorang doktor.

Sikap yang ditunjukkan oleh barisan hadapan itu sentiasa mendapat ucapan ‘terima kasih’ setiap hari para penghuni terutama daripada mereka yang hendak keluar selepas tempoh kuarantin tamat.

Malah, kakitangan barisan hadapan itu akan merakamkan gambar-gambar kenangan bersama para penghuni yang tamat tempoh kuarantin.

Banyak lagi kisah-kisah kemanusiaan di PKRC Nilai sama ada melibatkan penghuni atau pun kakitangan barisan hadapan.

Yang pasti, PKRC Nilai sebenarnya berjaya membentuk persefahaman dan kekeluargaan antara penghuni dan barisan hadapan.

Jika ada penghuni yang kehilangan jiran disebabkan dipersalahkan kepada penularan Covid, namun di PKRC Nilai mereka mendapat rakan-rakan baharu yang menjadi penghuni di situ sambil berkongsi kisah suka-duka.

Setiap penghuni di sini akan bertukar-tukar nombor telefon untuk kesinambungan persahabatan dan persaudaraan.

Yang pasti, penghuni dan barisan hadapan di PKRC Nilai lebih memahami antara satu sama lain. Di sinilah wujud kerjasama, semangat perpaduan, kejiranan dan saling bantu-membantu.

Bagi bekas penghuni yang tamat tempoh kuarantin, masalah mereka belum selesai kerana apabila dihantar ke Terminal 1 Seremban (stesen bas) untuk pulang ke rumah, ada pengusaha syarikat bas yang tidak membenarkan mereka menaiki bas.

Walaupun bekas penghuni itu telah mendapat surat pengesahan doktor bahawa mereka bebas daripada Covid namun surat berkenaan seolah-olah tidak diendahkan oleh syarikat pengusaha bas.

Akibatnya, ada kalangan pemandu kenderaaan yang mengambil kesempatan mengenakan bayaran berlipat kali ganda kepada bekas penghuni untuk dihantar pulang ke rumah masing-masing.

Ada bekas penghuni mengadu terpaksa membayar kira-kira RM300 dari Terminal 1 untuk ke Port Dickson.

Itulah survival yang perlu ditempoh oleh penghuni-penghuni di PKRC Nilai, Banyak lagi kisah-kisah kemanusiaan yang mereka perlu lalui dan tidaklah diketahui bilakah semua ini akan berakhir.- MalaysiaGazette

AMIR SARIFUDIN merupakan bekas Pengarang Berita Utusan Malaysia.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast