KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA), Jabatan Perangkaan Malaysia sedang melaksanakan Kajian Perlindungan Keselamatan Sosial Rakyat Malaysia Bekerja Di Luar Negara 2022.

Kajian awal ini akan memberi fokus kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

Dalam usaha untuk membina jaringan keselamatan sosial yang lebih komprehensif, kajian ini bermatlamat untuk membina ekosistem profil, mengumpul maklumat dan mengenalpasti keperluan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

Di samping itu, kajian ini akan turut meninjau isu-isu penting lain yang berkaitan agar tindakan susulan yang bersesuaian dapat dicadangkan bagi menambahbaik perlindungan keselamatan sosial untuk rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara umumnya.

Kajian ini juga akan meneliti secara holistik jaringan perlindungan keselamatan sosial untuk Rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara.

Dianggarkan seramai 150,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik secara harian ke Singapura untuk bekerja sebelum pandemik Covid-19 melanda akan terlibat dalam kajian yang dijalankan.

Daripada jumlah tersebut, dianggarkan sekitar 90,000 rakyat Malaysia masih berada dan bekerja di Singapura sepanjang tempoh 2021.

Sasaran responden bagi soal selidik ini adalah individu yang menepati kriteria berikut:
I. Rakyat Malaysia yang berada di Singapura sama ada bekerja, tidak bekerja atau bagi tujuan lain;
II. Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tetapi sedang berada di Malaysia; dan
III. Rakyat Malaysia yang pernah bekerja di Singapura pada tahun 2020 hingga 2022.

Sehubungan itu, kerjasama daripada individu-individu yang menepati kriteria di atas adalah dimohon untuk berkongsi input mereka kepada kajian ini melalui soal selidik yang dilaksanakan secara dalam talian.

Penyertaan rakyat Malaysia yang menepati kriteria-kriteria yang digariskan amat penting dalam memastikan maklumat yang dikumpul adalah tepat dan dapat digunapakai dalam menentukan rangka serta tindakan seterusnya.

Dapatan kajian ini akan memainkan peranan yang penting dalam usaha memastikan kualiti dan keadaan bekerja bagi rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara dapat dinaiktaraf sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk mendapat pendedahan dan pengalaman kerja di luar negara sambil memperoleh pendapatan yang menarik.

Soal selidik kajian boleh diakses dengan melayari pautan https://myworkabroad.perkeso.gov.my/index.php mulai 10 Januari 2022 sehingga
28 Februari 2022. Bagi sebarang pertanyaan, sila emel ke [email protected]. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast