Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan Daerah (PKD) Tangkak, Johor telah diarah menjalankan siasatan berhubung kejadian keracunan makanan yang dilaporkan berlaku di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Besar pada Ahad lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, empat daripada 63 mangsa banjir dan lima petugas terdedah dengan wabak keracunan itu.

Katanya, PKD Tangkak telah menerima notifikasi pada 9 Januari lalu dan kes telah disiasat pada hari yang sama.

“Mangsa terlibat berusia dalam lingkungan tiga hingga 14 tahun, manakala tiga dari empat kes tinggal di ruang yang sama di PPS. Kita dapati semua kes mempunyai gejala muntah, cirit birit dan sakit perut.

“Dua mangsa kemudian dimasukkan ke wad Hospital Tangkak pada Ahad dan telah discaj keesokan hari, manakala dua lagi diberi rawatan sebagai pesakit luar.

“Hasil daripada siasatan awal menunjukkan rating premis dan pengendalian makanan di PPS adalah baik iaitu 92 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini, petang ini.

Menurut beliau, pencemaran bukan disebabkan oleh penyediaan makanan di PPS, sebaliknya berpunca dari hygiene pesakit sendiri dan makanan yang dibiar lama oleh mangsa.

Kata Dr. Noor Hisham, sebanyak satu sampel makanan telah diambil bagi analisa lanjut dan tindakan telah diambil dengan memberi pendidikan kesihatan kepada pengendali makanan serta semua penghuni di PPS agar sentiasa menjaga kebersihan.

“Aktiviti kawalan dan pencegahan telah dijalankan oleh pihak PKD,” katanya. – MalaysiaGazette