Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah. Foto MOHD ADZLAN, 07 DESEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Isu yang membelenggu etnik Rohingya di negara ini bukan sahaja harus digalas Kementerian Luar malah turut perlu dibantu oleh kementerian-kementerian lain.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata isu etnik itu termasuk yang terbabit dengan masalah sosial dan jenayah perlu ditangani secara menyeluruh dan kolektif oleh agensi dan kementerian berkaitan.

“Ini bukan soal Wisma Putra atau mana-mana kementerian tertentu sebaliknya tanggungjawab bersama dan saling hubung menghubung.

“Ingin saya ingatkan bahawa Malaysia bukan signatory (penandatangan) kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tetapi kita mainkan peranan seolah-olah kita signatory,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat Tahun Baharu 2022 di kementeriannya petang ini.

Selain isu warganegara, entik minoriti daripada Myanmar turut membawa isu-isu lain antaranya isu pendidikan dalam masyarakat mereka, kata Saifuddin.

Justeru itu, pihaknya akan sentiasa mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan (KPM) serta agensi lain membabitkan isu Rohingya di negara ini.

Antara lain, Kementerian Luar akan turut melihat bagaimana untuk memperkasa dan menambah dana untuk memastikan pendidikan anak pelarian Rohingya di negara ini tidak tercicir.

Jelasnya lagi, dana untuk tujuan itu bukan membabitkan wang rakyat dan peruntukan kerajaan sebaliknya melibatkan dana luar yang diperolehi oleh kerajaan seperti sumbangan Yayasan Qatar.

“Juga jika mereka tidak dibantu dari segi pendidikan, sukar untuk negara ketiga menerima mereka. Mereka (pelarian Rohingya) jadikan Malaysia sebagai tempat persinggahan tetapi negara ketiga ini juga mereka (negara ketiga) pilih (mereka yang berkelayakan),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN di Kemboja ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan nanti berikutan beberapa menteri luar ASEAN tidak dapat menghadiri mesyuarat berkenaan atas sebab-sebab tertentu.

Sesi yang dijadualkan pada 18 dan 19 Januari ini tidak akan dapat dihadirinya kerana terdapat Sidang Khas Parlimen yang akan diadakan pada 20 Januari depan.

“Dengan varian baharu (Omicron), kita tiada lagi (program) test and release, menteri pun kena kuarantin macam orang lain. Kalau saya pergi juga (pemukiman) saya tak sempat hadir sidang khas Dewan Rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette