Inland Revenue Board IRB income tax taxation system Budget 2022
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan peremitan potongan cukai di bawah seksyen 107D ACP 1967 ini sehingga 31 Mac ini.

Menerusi kenyataan, LHDN memaklumkan langkah itu bagi memastikan semua syarikat pembayar dapat membuat persediaan dan pemakluman yang sewajarnya dapat diberikan kepada semua ejen, pengedar atau pengagihnya.

“Sehubungan itu, syarikat pembayar dibenarkan untuk meremitkan potongan cukai dua peratus atas bayaran berbentuk tunai yang dibayar kepada ejen, pengedar atau pengagih bagi bulan Januari sehingga Mac 2022 mulai 1 April 2022 tanpa dikenakan apa-apa kenaikan,” demikian menurut kenyataan itu.

Bagi memudahkan pemahaman yang lebih jelas, pihaknya akan mengeluarkan soalan lazim berkaitan perkara tersebut yang boleh diakses melalui portal rasmi www.hasil.gov.my.

Kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2022 telah memperkenalkan seksyen 107D, Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2022.

Melalui pengenalan seksyen baharu itu, setiap syarikat pembayar perlu membuat potongan cukai dua peratus dan meremitkan amaun potongan tersebut kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) atas setiap bayaran tunai yang dibuat kepada ejen, pengedar atau pengagihnya.

Ejen, pengedar atau pengagih hendaklah merupakan individu pemastautin dan kelayakan dalam memastikan ejen, pengedar atau pengagih itu layak dibuat potongan dalam tahun 2022 adalah berdasarkan nilai ambang RM100,000 penerimaan bayaran (tunai dan bukan tunai) pada tahun sebelumnya (tahun 2021).

Amaun potongan dua peratus berkenaan hendaklah diremitkan kepada KPHDN dalam tempoh 30 hari selepas pembayaran dibuat. – MalaysiaGazette