RIYADH – Mahkamah Arab Saudi buat pertama kalinya memerintahkan seorang lelaki yang disabitkan dengan gangguan seksual dinamakan dan dimalukan di khalayak ramai, lapor media tempatan.
Yasser al-Arawi didapati bersalah oleh Mahkamah Jenayah di Madinah kerana mengganggu seorang wanita menggunakan kata-kata lucah.
Dia dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda sebanyak AS$1,330 (£980).
Undang-undang antigangguan telah dipinda setahun lalu bagi membolehkan nama dan hukuman pesalah disiarkan di akhbar tempatan atas perbelanjaan mereka sendiri.
Hakim dibenarkan untuk memutuskan ‘graviti jenayah dan impak kepada masyarakat’ dalam melaksanakan hukuman berkenaan.
Hukuman mahkamah itu disambut baik oleh orang ramai yang menyifatkan hukuman berkenaan ‘sudah lama tertangguh’.
Undang-undang itu sebenarnya sudah berkuat kuasa sejak tahun 2018.
Ia menetapkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda sehingga AS$27,000 bagi mereka yang didapati bersalah melakukan perbuatan gangguan seksual.
Pesalah berulang berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga AS$80,000.
Di sebalik penguatkuasaan undang-undang ini, beberapa wanita Arab Saudi masih mengadu pihak berkuasa tidak melakukan tindakan cukup untuk menghentikan gangguan.
Seorang individu baru-baru ini memberitahu BBC menerusi komen dalam talian pada video yang disiarkan bahawa kaum wanita sering dipersalahkan kerana diganggu dan mangsa berkemungkinan besar akan dihukum sebagai pelaku. – BBC