MELAKA – Lebih 40 individu termasuk pengayuh beca, peniaga asam pedas dan cendol yang terkenal sebagai produk pelancongan Melaka bergabung tenaga membalas ‘jasa’ mangsa banjir di seluruh negara.

Usaha itu dilakukan melalui penganjuran Misi Bantuan Banjir dan Kemanusiaan menggabungkan 10 ‘duta’ pelancongan negeri seperti Abang Beca Melaka, Cendol Jam Besar, Madras Cafe dan Melaka Vape Lounge.

Turut sama Jr Asam Pedas, Cendol Kampung Hulu, Ole-ole Melaka Uptown Pahlawan Walk dan Coconut Shake Batu Berendam dan Yusmin Group.

Wakil pengayuh beca Riduan Saleh, 45, berkata idea berkenaan tercetus selepas mereka berasa terpanggil untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara yang selama ini menyumbang kepada ekonomi peniaga kecil di Melaka termasuk pengayuh beca sebaik pintu sempadan negeri dibuka selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Setelah berbincang, kami berjaya mengumpul lebih 40 orang daripada 10 peniaga kecil dan pengayuh beca yang terkenal di Melaka untuk bersama-sama membantu meringankan beban mangsa banjir mengikut kemampuan kami yang terhad.

“Tidak sangka pula, hanya dalam tempoh beberapa hari kami berjaya mengumpul lebih RM20,000 daripada semua peserta misi dan telah membeli beberapa barang keperluan seperti tilam nipis, selimut dan kit makanan.

“Semua barangan ini akan disampaikan sendiri kami di beberapa lokasi mangsa banjir yang telah dikenalpasti bermula di Krubong Melaka, Padang Jawa Selangor dan Bentong Pahang,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, misi sehari itu menggunakan sepenuhnya wang sumbangan untuk memberi barangan keperluan dan segala kos pengangkutan ditanggung sendiri peserta.

“Sebagai sukarelawan, kami tidak mengambil sebarang keuntungan daripada setiap sumbangan supaya ianya dapat dimanfaatkan sepenuhnya mangsa banjir,” katanya yang sudah mengayuh beca sejak 21 tahun lalu.

Sementara itu, peniaga Cendol Jam Besar di hadapan Bangunan Stadthuys, Muhammad Kassim Mohd Ali, 39, berkata, sudah tiba masanya dia yang mewarisi perniagaan di hadapan Bangunan Merah daripada datuknya membalas jasa mangsa banjir.

“Sejak banjir luar biasa melanda negara 18 Disember lalu, saya begitu sayu melihat nasib dialami yang bukan sahaja tinggal sehelai sepinggang, malah turut membabitkan kehilangan nyawa.

“Saya yakin, pasti ada dalam kalangan mangsa banjir ini pernah menjadi pelanggan saya atau semua peniaga di Melaka jadi kami harap bantuan kecil ini dapatlah meringankan ujian yang terpaksa ditanggung,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast