KUALA LUMPUR – Seorang lelaki meninggal dunia manakala 11 lagi termasuk dua kanak-kanak mengalami sesak nafas dalam satu kebakaran sebuah bangunan di Jalan Dato Haji Eusoff Off Jalan Ipoh di sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pukul 5.30 petang sebelum 46 anggotanya bergegas ke tempat kejadian bersama sembilan jentera.
“Pemerhatian di lokasi mendapati kebakaran itu membabitkan sebuah bangunan rumah kedai empat tingkat dan kebakaran berlaku dalam sebuah bilik di tingkat satu.
“Kami berjaya membawa keluar 12 mangsa yang terperangkap di dalam bangunan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, dalam insiden terbabit terdapat seorang lelaki meninggal dunia manakala 11 lagi mangsa membabitkan tujuh lelaki, dua wanita serta dua kanak-kanak mengalami sesak nafas.
“Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan menerima rawatan di zon kuning Unit Kecemasan menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) pihak bomba manakala tiga lagi mangsa menolak untuk dihantar ke hospital terbabit.
“Api dapat dikawal pukul 6.01 petang dan padam sepenuhnya pukul 6.55 petang manakala punca kebakaran masih dalam siasatan bomba,” tegasnya.- MalaysiaGazette