Plakad bantahan yang ditunjukkan selepas sidang media mengenai umat Islam di India yang diancam golongan fanatik Hindu di Restoran Syed Bistro, Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 80 NGO yang bergabung dengan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) akan menghantar memorandum bagi membantah tindakan kumpulan nasionalis dalam kalangan penyebar ideologi Hindu di India yang mahu membunuh beramai-ramai masyarakat Islam di negara itu.

Memorandum tersebut akan diserahkan ke kedutaan India serta kerajaan Malaysia dan turut dihantar kepada semua ahli Parlimen Isnin depan.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kekejamaan yang dilakukan oleh puak nasionalis di negara berkenaan sudah melampau dan perlu dibantah sekeras-kerasnya.

Beliau terkejut apabila mengetahui terdapat satu acara oleh kaum Hindu yang diadakan di bandar Havidvar, India menyeru supaya melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang Islam.

“Kami NGO Malaysia menyatakan bantahan keras kami terhadap kempen kebencian beramai-ramai oleh kumpulan nasionalis dalam kalangan ideologi Hindu di India yang mensasarkan umat Islam dan minoriti.

“Kami bantah sekeras-kerasnya kumpulan agama dan politik sayap kanan yang mahu melakukan pembunuhan beramai-ramai seperti etnik Rohingya dan pengusiran orang India Muslim dari India.

“Ini dilafazkan di hadapan pada pemimpin BJP (Parti Bharatiya Janata) yang memerintah dalam perhimpunan Hindutva selama tiga hari yang diadakan dari 17 hingga 19 Disember 2022 di bandar Haridwar Utara,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Mohd Azmi Abdul Hamid

Mohd Azmi berkata, rakaman acara itu menjadi tular di laman sosial apabila memaparkan pertemuan pemimpin agama Hindu menggesa pembunuhan besar-besaran dan penggunaan senjata terhadap umat Islam yang dilaungkan secara terang-terangan.

Ujarnya, pemimpin beberapa kumpulan sayap kanan yang mempunyai hubungan dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi telah menggesa penghapusan etnik minoriti di India terutamanya terhadap 200 juta umat Islam di negara itu telah mencetuskan kemarahan meluas dan menggesa tindakan dikenakan terhadap mereka.

Tambahnya, dalam acara itu, ucapan kebencian selama tiga hari diadakan oleh tokoh kontroversi Hindutva, Yati Narsinghanand di bandar Haridwar di utara India, yang mana beberapa penceramah membuat gesaan untuk membunuh minoriti dan menyerang ruang agama mereka.

“Boikot ekonomi tidak akan berhasil…kumpulan Hindu perlu memperbaharui diri mereka sendiri. Pedang kelihatan bagus di atas pentas sahaja. Pertempuran menentang umat Islam ini akan dimenangi oleh mereka yang mempunyai senjata yang lebih baik,” katanya yang memetik percakapan Narsinghanand dalam rakaman itu.

Justeru, Mapim mendesak supaya kempen kebencian dan kekejaman kumpulan nasionalis kanan India itu terhadap umat Islam dihentikan serta-merta.

Mohd Azmi menegaskan, kerajaan India perlu mengambil tindakan tegas terhadap pelaku kempen kebencian terhadap minoriti dan mendakwa mereka serta mengenakan hukuman mati terhadap mereka yang terlibat dalam jenayah itu.

Plakad bantahan yang ditunjukkan selepas sidang media mengenai umat Islam di India yang diancam golongan fanatik Hindu di Restoran Syed Bistro, Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 JANUARI 2022.

Katanya lagi, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga perlu mengutuk kempen kebencian itu dan mengambil langkah sewajarnya untuk menekan India daripada melaksanakan dasar anti-Muslim di India.

“Ulama Islam perlu berganding bahu dengan pemimpin bukan Islam untuk menentang dasar perkauman kerajaan India terhadap minoriti di negara itu.

“Pemimpin Islam dunia juga perlu menyuarakan pendirian mereka untuk mengingatkan bahawa negara-negara Islam tidak akan bertolak ansur dengan keganasan terhadap maruah umat Islam dan Islam di India,” tegas beliau.

Kata beliau lagi, pemimpin agama di India juga wajar mengeluarkan kenyataan bersama untuk menolak mesej kempen kebencian antara agama di India, selain masjid-masjid sedunia perlu mengadakan solat hajat dan khutbah khas pada hari Jumaat untuk menyelamatkan umat Islam daripada serangan lebih dahsyat terhadap hak-hak umat Islam di India.

Terdahulu, beliau berkata, memorandum tersebut sepatutnya diserahkan ke kedutaan berkenaan dalam satu gerakan yang akan diadakan esok.

Bagaimanapun, hasrat itu terpaksa dibatalkan setelah mendapat saranan daripada pihak berkuasa sebagai langkah mengelak penularan wabak Covid-19 yang masih belum berkesudahan. – MalaysiaGazette