Superintendan Arshad Abu

ALOR GAJAH – Padah membeli sijil vaksinasi Covid-19 digital palsu untuk kegunaan aplikasi MySejahtera, pasangan suami isteri penjawat awam yang juga golongan antivaksin ditahan polis di sini Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, selain lelaki berusia 38 tahun dan isterinya, 33 tahun, turut ditahan rakan mereka, 58 tahun yang menjadi orang tengah menjual sijil berkenaan kepada mereka pada harga RM500 setiap satu.

Ketiga-tiga mereka yang juga rakan sepejabat ditahan ketika diarahkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Menurut Arshad, penahanan dibuat susulan aduan dibuat pihak jabatan suspek terdapat dua orang kakitangannya mempunyai sijil vaksinasi Covid-19 digital lengkap dua dos yang disyaki palsu di aplikasi MySejahtera.

“Bagi memastikan kesahihan itu, pengadu telah menghantar surat kepada Klinik Kesihatan Rembia pada 31 Disember 2021 untuk semakan sebelum pihak klinik mengesahkan kedua-dua mereka tidak pernah menerima apa-apa vaksin pada 5 Januari lalu .

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka telah menahan ketiga-tiga suspek ketika diarahkan hadir di IPD pada jam 4 petang Selasa lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya siasatan lanjut mendapati, pasangan suami isteri terbabit juga merupakan kumpulan antivaksin kerana pernah membuat laporan polis enggan menerima vaksin pertengahan tahun lalu.

“Hasil soal siasat mereka mengaku membeli sijil vaksin palsu berkenaan untuk memudahkan urusan seharian selain demi mendapatkan bonus kerajaan kerana syarat layak mendapat bonus, penjawat awam mestilah telah lengkap menerima dua dos vaksin.

“Pasangan terbabit juga mengaku membeli dan memuat turun sijil vaksin palsu terbabit melalui orang tengah iaitu rakan lelaki sepejabat berusia 58 tahun yang turut ditahan,” katanya.

Tambahnya, suspek lelaki berkenaan bagaimanapun didapati menggunakan sijil vaksin tulen, namun mengakui menjual sijil palsu berkenaan pada harga RM500 setiap satu kepada pasangan terbabit yang didakwa diperolehi daripada seorang lagi suspek yang masih bebas dikenali sebagai Vnilai.

“Ketiga-tiga suspek kini direman selama tiga hari berakhir hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan denda dan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.