KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) telah melepaskan pemain import dari Indonesia, Syahrian Abimanyu ke kelab Liga 1, Persija Jakarta dengan bayaran yuran perpindahan yang tidak didedahkan.
Abimanyu merupakan pemain baharu ketujuh yang ditandatangani oleh Persija Jakarta untuk memperkuatkan jentera tengah pasukan itu.
Presiden Persija, Mohamad Prapanca berkata, Abimanyu adalah rekrut terakhir pada perpindahan musim ini dengan kontrak selama 2.5 tahun sehingga 2024.
“Abimanyu adalah rekrut terakhir Persija Jakarta musim ini. Kemampuannya sebagai pemain tengah sangat membantu perjuangan Persija mengharungi baki musim 2021.
“Saya yakin dia akan membantu pasukan menjadi lebih baik pada pusingan kedua ini,” jelas Prapanca dalam kenyataan rasmi.
Abimanyu menyertai JDT pada bulan Disember 2020 sebelum dipinjamkan ke kelab A-League, Newcastle United bersama seorang lagi pemain, Liridon Krasniqi bagi meraih pengalaman sekaligus mendapat minit permainan.
Namun, Syahrian jarang diturunkan dalam perlawanan A-League dan hanya diberi peluang untuk menampilkan kemampuan yang dimiliki pada minit-minit terakhir perlawanan.
Sekembalinya ke JDT, dia mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi pemain pertama Indonesia yang menjuarai Liga Super musim lepas mengatasi rekod Bambang Pamungkas dan Ellie Aiboi yang pernah membantu Selangor menjuarai Liga Premier pada musim 2005. – MalaysiaGazette