Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KDN dan Amanat Tahun Baru 2022 di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 13 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Usaha membanteras jenayah rasuah tidak lagi terbeban di bahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memastikan agensi-agensi di bawahnya memeranginya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pemakaian baju seragam agensi penguatkuasaan di bawah KDN membuktikan pihaknya sentiasa mengambil serius perkara itu, apatah lagi untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

“Apabila kita memakai baju seragam, sebenarnya kita ambil berat terhadap rasuah, (walaupun tugas banteras) rasuah di bawah SPRM.

“Sebab itu dari semasa ke semasa kita sendiri kena terima hakikat bahawa rasuah adalah salah satu yang perlu kita berwaspada dan sebahagian daripada apa yang kita lawan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat KDN, di sini, hari ini.

Terdahulu, Hamzah ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2022 berkata, walaupun pelbagai cabaran yang ditempuhi pada 2021, namun KDN berjaya mencapai sehingga 95.3 peratus KPI setakat 31 Disember lepas.

“Pencapaian KDN pada 2021 diukur melalui 19 KPI yang telah ditetapkan dan sehingga 31 Disember 2021, pencapaian keseluruhan KPI ini adalah sebanyak 95.3 peratus,” katanya.

Selain itu, KDN juga berjaya mencapai 100 peratus KPI 100 hari pertama pentadbiran kerajaan baharu bagi semua Menteri Kabinet yang dikenali sebagai Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 hari.

“Bagi tujuan itu, KDN telah menetapkan tiga AKM yang merangkumi 16 inisiatif untuk dilaksanakan dalam tempoh 100 hari.

“Sehingga tempoh berakhir pada 9 Disember 2021, KDN telah berjaya mencapai 100 peratus bagi kesemua AKM berkenaan.

“Pencapaian ini amat membanggakan dan saya ucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh warga KDN termasuk Jabatan di bawahnya atas kejayaan cemerlang ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette