civil servants antivaxxer antivaxxers Healthcare worker injecting the AstraZeneca Covid-19 vaccine on a civilian during the National Covid-19 Immunisation Programme (PICK) at the World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL). PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 23 SEPTEMBER 2021.
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan penentuan harga maksimum bagi dua vaksin Covid-19 iaitu CoronaVac keluaran Sinovac dan Covilo keluaran Sinopharm.

Bagi vaksin jenis CoronaVac Suspension for Injection SARS-CoV-2 Vaccine (Vero Cell), Inactivated harga borong maksimum adalah RM62 manakala harga runcit RM77.

Harga vaksin Covilo Suspension for Injection COVID-19 Vaccine
(Vero Cell), Inactivated pula adalah RM49 (borong) dan RM61 harga runcit.

Penentuan harga borong maksimum dan harga runcit maksimum bagi kedua-dua vaksin berkenaan dibuat untuk mengelakkan vaksin tersebut dijual pada harga terlalu tinggi di fasiliti kesihatan swasta.

“Kerajaan mendapati harga vaksin Covid-19 yang ditawarkan di
sektor swasta masih tinggi dan berbeza-beza, dan pastinya kadar
tersebut akan membebankan rakyat terutamanya di saat negara masih lagi berhadapan dengan pandemik Covid-19,” kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi kenyataan bersama, hari ini.

Ujar kedua-dua menteri berkenaan, penentuan harga vaksin ini hanya melibatkan vaksin yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), KKM.

Menurut kenyataan itu, harga runcit maksimum yang ditetapkan adalah tidak termasuk caj perkhidmatan dan caj barangan pakai buang yang digunakan ketika suntikan vaksin.

“Penentuan harga maksimum ini secara asasnya dibuat berdasarkan harga pengimportan dan harga pasaran semasa. Senarai dan harga vaksin Covid-19 akan dikaji secara berterusan dan akan ditambah baik atau digugurkan berdasarkan penilaian situasi pasaran dan keperluan semasa,” tambah mereka.

Katanya, setiap fasiliti kesihatan swasta yang mendapat kelulusan kerajaan untuk menawarkan private-purchase vaccination diwajibkan mempamerkan harga jualan vaksin untuk memudahkan rujukan orang ramai dalam masa yang sama, meningkatkan ketelusan maklumat harga vaksin.

Tambah Khairy dan Alexander, individu atau syarikat yang gagal mematuhi peraturan ini akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast