Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KDN dan Amanat Tahun Baru 2022 di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 13 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor masih lagi sekadar khabar angin, begitu juga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, keputusan untuk menentukan mana-mana pilihan raya itu bergantung kepada parti pemerintah dan Bersatu sentiasa bersiap siaga jika untuk menghadapi sebarang pilihan raya.

“Desas-desus pilihan raya ini bukan hanya di Johor, malah desas-desus juga mengenai pilihan raya umum akan dilakukan. Bila ketetapannya akan dibuat oleh mereka yang bertanggungjawab.

“Saya sebagai Setiausaha Agung Bersatu sentiasa mengadakan mesyuarat dan memastikan supaya rakyat dalam negara tahu siapa untuk kita pilih, untuk memilih kepimpinan lebih baik bagi kepentingan negara kita,” katanya pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN bersama semua agensi di bawahnya dan sempena Amanat Tahun Baharu 2022 di Dewan Auditorium KDN.

Pada akhir tahun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad memberi bayangan untuk mempertimbangkan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor susulan kerajaan mempunyai kelebihan hanya satu kerusi.

Hasni juga tidak menolak kemungkinan untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memaklumkan tentang kedudukan kerajaan negeri ketika ini.

Katanya, kedudukan kerajaan negeri yang mempunyai majoriti amat tipis dengan hanya satu kerusi boleh membuatkan kerajaan negeri dikhuatiri bertambah tidak stabil.

Susulan kematian bekas ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember lepas, kerajaan negeri yang kini dipimpin Barisan Nasional (BN) mempunyai 16 kerusi, Bersatu (11), Pas (satu) dengan 28 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) mempunyai 27 kerusi.

Sebelum ini, Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat memaklumkan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan susulan kekosongan kerusi DUN Kempas memandangkan kekosongan berlaku lebih tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). – MalaysiaGazette