KUALA LUMPUR – Penyanyi Aishah antara individu yang tersenarai sebagai penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan ke-74 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir hari ini.
Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 57, menerima Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang membawa gelaran Datuk.
Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Negeri Sembilan berlangsung di Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah.
Aishah dijadualkan menerima pingat berkenaan dalam satu majlis berasingan pada 22 Januari ini.
Selain itu, Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain mendahului senarai seramai 410 penerima anugerah kebesaran lain.
Antara nama lain yang turut dikurniakan DBNS adalah Ahli Dewan Negara Senator Dr Ahmad Azam Hamzah, Pengarah Urusan & Rakan Operasi McDonalds Malaysia, Azmir Jaafar dan Pakar Perunding Kardiologi Dr. Asri Abdullah Ramaiah.
Penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manis Mu itu juga merupakan anak kelahiran negeri tersebut.
Ketika aktif dalam dunia politik sekitar tahun 2013, Aishah pernah bertanding di Parlimen Jempol, Negeri Sembilan mewakili parti Pas.
Nama Aishah mula terukir sebagai penyanyi pada awal tahun 1980-an bersama Aishah and The Fab Club.
Pemenang Anugerah Juara Lagu kelima (AJL5) pada tahun 1990 ini juga pernah bergelar juara Gegar Vaganza musim keempat pada 2017. – MalaysiaGazette