MELAKA – Bapa enam anak dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Seksyen, di sini, hari ini kerana menggilis kaki anak tirinya dengan menggunakan motosikal ditungganginya pada minggu lalu.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ramlan Abdul Karim, 32, yang membuat pengakuan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas anak tiri lelakinya berumur 10 tahun dengan menggunakan sebuah motosikal.

Tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Kuarters Klinik Desa, Kampung Padang dalam daerah Melaka Tengah pada 7 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua hukuman jika sabit kesalahan.

Terdahulu dalam rayuannya tertuduh meminta hukuman yang ringan kerana perlu menyara enam anak dan kedua ibu bapanya selain menyesali dengan apa yang berlaku.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N Siva Shangari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siva Shangari memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh memandangkan kecederaan dialami mangsa yang baru berumur 10 tahun.

Mengikut fakta kes, pada jam 11.10 malam telah berlaku perselisihan faham dan pertengkaran mulut di antara tertuduh dan isterinya di hadapan Kuarters Kampung Padang berkaitan hal penceraian.

Semasa berlaku pertengkaran, tertuduh secara tiba-tiba telah memecut motosikalnya sehingga mengilis kaki kiri anak lelaki tirinya berusia 10 tahun dan mencederakan pengelangan tangan kanan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar denda. – Malaysiagazette