TANJONG KARANG – Semua agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) diingatkan tidak menguruskan peruntukan kerajaan sebagai dana institusi masing-masing dengan mengenakan syarat yang ketat kepada rakyat.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, sekiranya agensi kerajaan itu termasuk Bank Rakyat mahupun SME Bank menguruskan dana kerajaan mengikut amalan perbankan, beliau khuatir matlamat kerajaan untuk membantu usahawan tidak tercapai.
“Ini duit kerajaan, mesti dibelanjakan dan hendaklah permudahkan urusan ini supaya dapat memberi faedah kepada rakyat.
“Bila duit kerajaan, ia mesti diuruskan lain daripada menguruskan duit bank. Kalau duit ikutkan peraturan yang disediakan oleh Bank Negara.
“Kerajaan bagi duit ini dengan hasrat untuk membantu rakyat. Saya minta Bank Rakyat yang menguruskan peruntukan ini, tolong jangan ikut proses bank.
“Kalau bank mungkin perlukan CTOS, mungkin nak periksa CCRIS, tapi tidak untuk peruntukan kerajaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang menyampaikan bantuan kepada sembilan keluarga yang ditimpa musibah akibat rumah terbakar di Jalan Tepi Sungai, di sini.
Semalam, Noh mengumumkan peruntukan RM40 juta dan RM22 disalurkan masing-masing kepada Bank Rakyat dan SME Bank untuk memberi pinjaman kepada usahawan luar bandar yang terjejas banjir dan COVID-19 sehingga RM50,000.
Ini termasuk yang disenarai hitam oleh CTOS dan Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS).
Dalam pada itu, Noh juga menegaskan agensi pembiayaan kewangan juga diingatkan tidak mengenakan syarat ketat kepada usahawan luar bandar khususnya yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
“Ketepikan CTOS, ketepikan CRIS, saya telah arah supaya (pembiayaan usahawan) ikut syarat-syarat Tekun Nasional.
“Keutamaan kita berikan kepada mereka yang mahu berniaga ini khususnya mereka terkesan dengan banjir, ” katanya.
Selain itu, Noh juga memberi amaran kepada mana-mana pegawai yang cuba mengenakan syarat ketat pembiayaan seperti mana dilakukan pihak bank ketika ini.
“Kalau mana-mana Bank Rakyat yang mengenakan syarat CTOS dan CCRIS, boleh laporkan terus ke Facebook saya, bagi nama pegawai Bank Rakyat ini, kalau dia nak minta macam-macam.
“Pegawai kena faham duit kerajaan tak boleh (syarat), tak perlu ikut syarat bank, sebab duit kerajaan bank tolong urus sahaja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette