KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan stok penimbal gula putih bertapis oleh dua buah kilang memproses gula bermula 1 Januari lalu.

Inisiatif awal bagi mengelakkan masalah bekalan gula di pasaran pada masa hadapan itu membabitkan Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) dan MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan itu dibuat setelah negara mengalami isu perbekalan gula beberapa kali kebelakangan ini ekoran daripada pelbagai faktor.

Antara faktornya ialah seperti penutupan kilang, jangkitan Covid-19 terhadap pekerja kilang dan kerosakan kepada mesin boiler, ujarnya.

“Sehingga kini laporan mingguan pengeluaran gula yang diterima daripada empat buah kilang gula tersebut menunjukkan trend pengeluaran gula yang sama, tetapi sebagai langkah proaktif, KPDNHEP telah merangka strategi bagi memastikan pengeluaran dan bekalan gula dalam pasaran domestik tidak terjejas,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Alexander, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, penggunaan gula domestik dianggarkan sebanyak 0.65 kilogram (kg) sebulan per kapita dan menjadikan jumlah tahunan yang diperlukan dianggarkan sebanyak 255,450 metrik tan (MT) setahun bagi keperluan 32.75 juta rakyat Malaysia.

Tambah beliau, bagi pengeluaran kedua-dua syarikat pengilang gula adalah sebanyak 1,500,000 MT setahun, mencukupi untuk kegunaan rakyat Malaysia dan kegunaan industri di Malaysia.

Justeru, jelas beliau, sebagai langkah berjaga-jaga dan dalam usaha memastikan supaya bekalan gula dalam pasaran domestik sentiasa mencukupi, kementeriannya  telah mengadakan sesi libat urus dengan kedua-dua syarikat pengeluar utama bagi membincangkan dan mencari solusi yang boleh diambil untuk mengelakkan kejadian kekurangan bekalan gula dalam
pasaran berlaku lagi di masa hadapan.

Selaras dengan Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, kedua-dua syarikat telah diarahkan untuk melaksanakan stok penimbal berjumlah 53,000 MT bagi gula putih bertapis pada setiap masa dan hanya digunakan apabila berlaku kekurangan bekalan di sesuatu kawasan selaras dengan Arahan Pengawal Bekalan.

Menurut Alexander, mekanisme kawalan stok penimbal membabitkan kuantiti gula pasir putih bertapis disimpan secara stok terapung (floating stocks) pada kadar yang ditetapkan selama 11 hingga 15 hari.

Selain itu, pemantauan berterusan akan dilakukan berdasarkan
pelaporan yang dikemukakan oleh pengilang bagi memastikan kuantiti stok penimbal sentiasa berada pada kadar yang ditetapkan.

Kegagalan mematuhi arahan boleh menyebabkan tindakan
dikenakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali pertama atau denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya.

Pelaksanaan stok simpanan gula putih bertapis oleh pengilang gula tempatan dijangka dapat membantu untuk mengelakkan gangguan terhadap bekalan gula berlaku pada masa akan datang, sekali gus dapat mengelak pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menaikkan harga dan menyimpan stok gula ketika berlaku krisis gangguan gula. – MalaysiaGazette