Polis Marin menunjukkan barang rokok seludup haram yang disembunyikan dalam produk barangan bedak dan bawang dalam kontena yang dirampas di Pelabuhan Klang. Ihsan foto: Polis Marin Klang

KUALA LUMPUR – Cubaan sindiket menyeludup rokok di sebalik sebalik barangan kosmetik dan bawang untuk mengaburi pihak berkuasa terbongkar dengan penahanan sebuah kontena di Klang pada tahun lalu.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Hazri Zakaria berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati rokok seludup itu diletakkan di bahagian tengah barangan sah yang lain sebagai taktik mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kemungkinan kontena itu dibawa masuk menerusi pelabuhan di daerah ini dengan mengikrarnya sebagai barangan lain.

“Ada antara kontena yang dirampas dan diperiksa polis Marin mendapati sindiket ini meletakkan atau mencampurkan rokok seludup pelbagai jenama dengan produk sah seperti bedak, beg atau pakaian terpakai, bawang dan gandum,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Polis Marin menunjukkan barang rokok seludup haram yang disembunyikan dalam produk barangan bedak dan bawang dalam kontena yang dirampas di Pelabuhan Klang. Ihsan foto: Polis Marin Klang

Tambah beliau, pihaknya percaya helah seperti itu sentiasa berubah memandangkan permintaan terhadap rokok seludup di pasaran tempatan sentiasa tinggi.

Menurut Hazri, selain itu Polis Marin juga mendapati sindiket itu mengambil atau memunggah rokok seludup dengan menggunakan bot pancung dari kapal-kapal besar yang berada di tengah laut.

“Bot pancung itu kemudiannya mendarat di mana-mana pesisir pantai sebelum rokok yang diseludup masuk secara haram itu diangkut menggunakan kenderaan mewah seperti Toyota Vellfire dan Estima.

“Tonto air atau dikenali sebagai sapu air ini menyamar sebagai nelayan atau pemancing dan mereka diupah oleh sindiket rokok seludup itu bagi memantau dan memerhatikan setiap pergerakan pihak berkuasa di kawasan perairan itu,” ujar beliau.

Katanya, sepanjang tahun lalu, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis rokok seludup bernilai RM9.45 juta.

Beliau memberitahu, selain itu jumlah keseluruhan barangan yang dirampas PPM Pelabuhan Klang ialah RM12.4 juta membabitkan kesalahan di bawah Akta Perikanan, Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), Akta Dadah Berbahaya, Akta Kawalan Dadah Kosmetik serta Akta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis). – MalaysiaGazette