KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) sudah meneliti laporan dan tidak menjumpai pemakluman secara rasmi berkaitan pengisytiharan aset oleh Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki kepada ketua jabatannya.
Pengerusi JKMR, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, persoalan itu tidak hanya kepada Azam tetapi mempersoalkan perkara sama kepada semua pegawai dan anggota jabatan tersebut.
“Apakah pengerusi atau penyelia sudah dimaklumkan mengenai aset atau saham secara rasmi?
“Dalam penelitian kami, tak dapat dilihat dan kami letakkan ia sebagai intipati kepada persoalan kepada kes yang kini berhadapan dengan pentadbiran penyelidikan, siasatan dan lain-lain,” katanya dalam satu sidang media khas di bangunan Parlimen hari ini.
Turut hadir Senator Zaiedi Suhaili, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Beliau berkata, perolehan (saham) Azam berlaku pada enam tahun lalu.
“Berkaitan hak beliau membeli saham juga harus disiasat. Fakta mesti terasas dan menjadi bukti kepada undang-undang nanti.
“Pada masa itu sudah diisytihar atau tidak?
“Kami mengesyorkan siasatan dilakukan ke atas Azam sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Sekuriti, Ketua Setiausaha Negara, jabatan disipilin SPRM atau mana-mana agensi yang berkaitan,” katanya lagi.
Jelas Rais, apabila sesuatu berlaku terhadap ketua jabatan, ia harus sedia disiasat.
“Menerusi Pekeliling SPRM 2002 menyebut, tidak salah untuk sesiapa juga memiliki saham yang tidak melebihi RM100,000.
“Hal ini masih tidak kami ketahui, lantaran itu, jawatankuasa badan yang menyiasat perlu mendapatkan fakta sebenar dalam kes ini.
“Kita juga tidak tahu apakah status pemilikan saham itu sama ada saham untuk diri sendiri atau tidak dan ia juga perlu disiasat,” katanya.
JKMR dalam sidang media sama berkata, biarpun siasatan harus dibuat ke atas Azam, namun mendapati ia bukan perbuatan jenayah.
“Ini bukan perbuatan jenayah, tetapi mungkin salah laku, namun Azam perlu mengambil cuti rehat sementara kes sedang disiatat,” jelasnya.
Sementara itu, JKMR turut menyelar tindakan Edmund Terence Gomez yang tidak menggunakan saluran betul untuk menyatakan pandangan.
“Seharusnya, mereka bertemu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) atau jawatankuasa lain untuk melaporkan hal ini.
“Seseorang itu harus berfungsi sebagai ahli jawatankuasa dan harus menghormati akta, tetapi tidak harus mencurigai dengan siasatan,” katanya. -MalaysiaGazette