Barang rampasan dadah berjumlah RM1.511 juta serta wang tunai yang ditemui dari tiga suspek terlibat penyimpanan dan pengedaran dadah aktif sebulan di sekitar Lembah Klang ditumpaskan 11 Januari lalu dalam serbuan di Jalan KLang Lama dan Puchong. Ihsan JSJN Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Percaturan licik satu sindiket didalangi tiga lelaki yang baru sebulan mengaktifkan jenayah pengedaran dadah dengan hajat mencari keuntungan besar dan menguasai pasaran gelap ternyata gagal membuahkan hasil.

Bertindak pantas atas maklumat risikan pasukan narkotik dari IKP KL berjaya membngkar sindiket tersebut yang menjadikan kediaman di kondominium mewah sebagai tempat penyimpanan bekalan dadah.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Superintendan Mohd Shokri Abdullah berkata, tiga lelaki warga tempatan berjaya ditahan dalam Ops Huricane di kawasan tempat letak kereta di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Klang Lama dan kondominium di Puchong, Selangor.

Katanya, ketiga-tiga suspek itu berusia 26 hingga 45 tahun dan merupakan rakan kenalan yang bekerjasama dalam sindiket ini.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek pertama yang ditahan di tempat letak kereta pasar raya tersebut berjaya merampas sejumlah dadah.

“Kemudian berpandukan maklumat awal, polis berjaya melakukan serbuan kedua di kondominium mewah di kawasan Puchong.

“Hasil pemeriksaan di dalam salah sebuah unit rumah kondominium mewah itu berjaya menjumpai dan merampas dadah jenis ketamin seberat 26.100 kilogram bernilai RM 1.43 juta, heroin seberat 28 gram bernilai RM 9,800,” katanya dalam kenyataan  hari ini.

Menurut beliau, dalam serbuan sama polis juga berjaya merampas pil ekstasi sebanyak 4,800 biji bernilai RM72,000 serta wang tunai RM2,280 disyaki hasil jualan dadah terlarang itu.

Menurutnya hasil siasatan lanjut polis ke atas ketiga-tiga suspek rakan sejenayah itu mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak sebulan lalu.

“Mereka menyewa kondominum mewah yang mempunyai kawalan keselamatan yang ketat itu dengan kadar sewaan sebanyak RM1,700 sebulan dan menjadikannya sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan kepada penagih tetap serta pembelinya.

“Dadah ini dipercayai untuk pasaran tempatan yang terdiri daripada pelanggan di sekitar Lembah Klang dan jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut mampu menampung
penggunaan seramai 57,056 orang.

“Salah seorang daripada tiga suspek itu memiliki rekod jenayah kesalahan lampau berkaitan dadah dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti dalang utama sindiket ini termasuk sumber asal mereka memprolehi bekalan dadah tersebut.

“Kesemua suspek telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama enam hari bermula 12 Januari lepas hingga 17 Januari 2022.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan,” tegas beliau.

Ujarnya nilai keseluruhan rampasan dadah adalah RM1,511,800 dan JSJN KL meminta kerjasama orang awam dalam menyalurkan sebarang maklumat aktiviti atau kegiatan penyalahgunaan dadah melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222 (24 jam),” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast