Pakatan Harapan PH flag Sarawak state election polls
Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR – Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) mengecam tindakan Tan Sri Azam Baki yang mengaitkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah susulan kontroversi melanda Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

Menurut Datuk Seri Saifuddin Nasution, Datuk Dr Hatta Ramli, Anthony Loke dan Nelson Anggang, perbuatan Azam itu sangat tidak bertanggungjawab kerana cuba mengheret institusi YDPA dalam masalah dan kemungkinan kesalahan yang dilakukannya.

“Azam patut tahu lantikan oleh Tuanku tidak memberikan sebarang kekebalan undang-undang daripada kesalahan yang dilakukan. Oleh itu, Majlis Setiausaha berpandangan Azam kini tiada pilihan lagi kecuali untuk bercuti sehingga selesai kesemua siasatan terhadap beliau.

“Sekiranya beliau enggan, kami menggesa Perdana Menteri agar mendengar pandangan kesemua pihak yang telah menyuarakan pandangan tentang isu ini, termasuk dari kalangan pemimpin kerajaan, dan mengambil tindakan tegas merehatkan Azam,” kata keempat-empat Setiausaha Agung PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Pada Rabu lalu, Azam menyatakan tidak akan akur dengan desakan mana-mana pihak untuk beliau melepaskan jawatan susulan kontroversi yang melanda dirinya.

Sebaliknya, kata beliau, hanya YDPA boleh menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Dalam pada itu, PH berkata, kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Mencegah Rasuah (JKMR), Tan Sri Rais Yatim yang menggesa agar Azam direhatkan disambut baik gabungan parti politik itu.

Kata mereka, langkah tersebut perlu bagi memastikan siasatan penuh dan bebas dijalankan berhubung isu berjuta-juta saham dan waran yang dimiliki Azam.

“Kenyataan Pengerusi JKMR ini mengukuhkan gesaan tegas dari pelbagai pihak termasuk ahli-ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), NGO-NGO dan hampir kesemua parti politik agar siasatan penuh dan bebas dijalankan terhadap Azam, dan agar Azam bercuti atau dicutikan selama mana siasatan tersebut berjalan.

“Kenyataan tersebut sekaligus mematahkan hujah Azam untuk ‘membersihkan’ nama dengan cuba memperalat institusi Yang di-Pertuan Agong apabila beliau berkata perkhidmatannya hanya boleh ditamatkan oleh Tuanku,” kata mereka dalam kenyataan satu muka surat itu.

Semalam, Rais yang juga Yang di-Pertua Dewan Negara berkata, JKMR sudah meneliti laporan dan tidak menjumpai pemakluman secara rasmi berkaitan pengisytiharan aset oleh Azam.

Persoalan itu, kata Rais, tidak hanya kepada Azam tetapi mempersoalkan perkara sama kepada semua pegawai dan anggota jabatan tersebut. – MalaysiaGazette