KUALA LUMPUR – Kerja-kerja pembersihan sisa pascabanjir di enam negeri telah mencapai keseluruhan 98.17 peratus siap di bawah fasa pertama dan 100 peratus untuk fasa kedua melibatkan hanya dua negeri (Negeri Sembilan dan Melaka) setakat semalam.
Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 438 tan sisa banjir telah dibersihkan pada kedua-dua fasa pembersihan dengan menggunakan 112 jentera dan 354 pekerja.
“Fasa pertama kerja pembersihan pascabanjir di Johor telah mencapai 90 peratus dengan kawasan tumpuan pembersihan di daerah Segamat dan Muar, manakala di Pahang, kerja pembersihan kekal pada 99 peratus kerana berdasarkan rondaan hari ini masih terdapat sisa baharu dikeluarkan dari kawasan perumahan.
Kenyataan itu turut memaklumkan sebanyak 61.7 peratus Ketua Isi Rumah (KIR) terkesan dalam gelombang pertama dan 52.3 peratus terkesan dalam gelombang kedua, telah menerima bayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) membabitkan peruntukan sebanyak RM64,833,000.
— BERNAMA