KUALA LUMPUR – NGO Otai Reformis 1998 (Otai) tidak menolak kemungkinan mengheret Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor dan agensi-agensi di bawahnya ke mahkamah susulan kerugian dan kehilangan nyawa dalam kejadian banjir besar pada 18 Disember tahun lalu.

Setiausahanya, Abdul Razak Ismail berkata, ia merupakan langkah pertama bagi pihak lebih 100 penduduk Taman Sri Muda atas tindakan sivil ‘tort’ ekoran kecuaian dan kelalaian pihak berkuasa menyebabkan kehilangan harta benda dan nyawa.

“NGO Otai Reformis 1998 telah dihubungi oleh penduduk setempat dan telah mengaturkan satu taklimat untuk satu bentuk tuntutan pampasan terhadap pihak berkuasa melalui firma guaman Tetuan Raj & Sach.

“Tuntutan sivil ini selewat-lewatnya akan difailkan ke mahkamah dalam dua minggu akan datang,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

NGO Otai Reformis dan firma guaman Tetuan Raj & Sach memberi taklimat tuntutan sivil itu kepada 100 penduduk Taman Sri Muda, Shah Alam, pagi tadi.

Terdahulu, NGO Otai dan firma guaman Tetuan Raj & Sach memberi taklimat tuntutan sivil itu kepada 100 penduduk Taman Sri Muda, Shah Alam, pagi tadi.

Dalam pada itu, pemberian bantuan wang tunai oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri masing-masing sebanyak RM10,000 bagi setiap isi rumah tidak memadai berbanding kerugian yang ditanggung mangsa banjir.

“Pemberian tunai RM1,000 oleh Kerajaan Pusat mahupun Negeri itu terlalu sedikit untuk menampung kerugian harta benda bernilai puluhan ataupun ratus ribu ringgit dalam kejadian banjir tersebut,” katanya.

Abdul Razak turut menyifatkan tawaran pinjaman Bank Simpanan Nasional berjumlah RM10,000 hanya membebankan mangsa banjir yang masih trauma dengan bencana itu.

“Pinjaman RM10,000 dari BSN untuk membeli kelengkapan dan perabot rumah membebankan segi kewangan mereka selepas trauma bencana banjir,” katanya.

Katanya lagi, tuntutan sivil itu bakal menjadi rujukan pada masa akan datang agar pihak berkuasa sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi banjir dengan perancangan mitigas mencegah banjir yang mampan.

“Banjir seperti ini dijangka berlaku setiap tahun memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara hujan tropika yang sering menerima hujan lebat setiap hujung tahun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Pindah je semua penduduk taman muda ketempat lebih tinggi . Kemudian taman muda itu dijadikan tasik tadahan air untok selangor dimasa hadapan . Tanah disitu boleh angkut pindah ketempat lain .

Comments are closed.