Solihan Badri

JOHOR BAHRU – Semua pihak harus menamatkan spekulasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad perlu yakin dengan kerajaan yang dipimpin kerana semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbukti sepakat menyokong dan mempertahankan kestabilan politik di negeri ini.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd Solihan Badri berkata, Menteri Besar juga disaran tidak terpengaruh cakap-cakap pihak di luar kerajaan kerana yang memerintah adalah kerajaan negeri dan bukannya parti. 

Menurutnya, Hasni juga perlu yakin dengan sokongan padu BERSATU serta Perikatan Nasional (PN) Negeri yang teguh mempertahankan Kerajaan Negeri sedia ada supaya pelan pemulihan negara dapat dilaksanakan dengan lancar demi kepentingan rakyat.

Katanya, Bersastu Johor membuat saranan ini selepas tarikh 15 Januari 2022 yang digembar-gemburkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bakal dibubarkan, telah berlalu semalam. 

“Justeru, semua pihak diminta jangan lagi membuat sebarang spekulasi mengenai tarikh lain berhubung PRN Johor sehingga satu tempoh yang lebih sesuai apabila rakyat boleh menilai prestasi Kerajaan Negeri pimpinan Hasni. 

“Bersatu Johor tidak bimbang dengan kedudukan kerajaan negeri sedia ada walaupun mempunyai majoriti satu kerusi di DUN selagi mana kerajaan melaksanakan pelan pembangunan, membuat keputusan yang tepat serta memanfaatkan rakyat dan kekal berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Malahan, kata Solihan, wakil Pakatan Harapan (PH) dalam DUN Johor turut bersetuju dengan kerajaan negeri apabila  menyokong Bajet Negeri Johor 2022.

Bersatu juga bersetuju pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021 pada 6 Januari 2022 lalu, bagi menurunkan had umur warga negara yang layak menjadi ADUN di Johor daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

“Oleh itu, keutamaan Datuk Hasni sekarang adalah meningkatkan prestasi pentadbiran Kerajaan Negeri kerana ia menjadi kunci untuk dinilai, diterima dan disokong bukan sahaja rakyat malah wakil-wakil PN dan PH dalam DUN Johor sebagaimana sokongan mereka kepada bajet negeri serta pindaan, baru-baru ini,” katanya yang juga ADUN Tenang.   

Katanya, dengan pretasi baik dan mendapat sokongan semua pihak termasuk wakil PN dan PH, maka tidak lagi berbangkit soal Hasni tidak selesa atau bimbang dengan kedudukan Kerajaan Negeri yang beliau pimpin walaupun hanya dengan kelebihan satu kerusi.

“Sebaliknya, wajar untuk  Datuk Hasni tidak lagi membuat kenyataan mengenai kebimbangan atau ketidakselesaan tersebut dan mengelak daripada terlibat dalam spekulasi PRN Johor kerana rakyat melihat tindak-tanduk beliau selain boleh menjejaskan keyakinan pelabur untuk ke Johor.

“Beliau sewajarnya menegaskan, tetap yakin untuk terus mentadbir Kerajaan Negeri, melaksanakan pembangunan negeri dan bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 walaupun dengan kelebihan satu kerusi di DUN.

“Lagipun, Menteri Besar akan menetapkan tugasan kepada Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri Johor untuk dilunaskan dan KPI yang perlu dicapai bagi 2022 meliputi penyediaan infrastruktur, membawa masuk pelabur, meningkatkan taraf sosioekonomi, menangani kemiskinan bandar serta menumpukan soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat termasuk anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa kerana menjadi mangsa COVID-19,” katanya.

Solihan juga melihat spekulasi PRN Johor adalah omong-omong kosong politik dan tidak ada sebab bagi mana-mana ADUN untuk keluar parti masing-masing dan menjadi wakil bebas dalam situasi sekarang. 

Kata beliau, apa yang utama bagi Kerajaan Negeri ketika ini adalah keupayaan mentadbir urus, melaksanakan pembangunan serta menggerakkan ekonomi untuk dinilai oleh rakyat. – MalaysiaGazette