Logo Perkhidmatan Veterinar di Wisma Tani, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Orang ramai boleh mendapatkan permohonan lesen baharu bagi menjalankan aktiviti membabitkan haiwan serendah RM100 untuk tempoh setahun dan fi pembaharuan RM50 bagi tempoh tiga tahun.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (DVS), Datuk Dr Norlizan Mohd Noor berkata, penguatkuasaan pelesenan aktiviti membabitkan haiwan ini berkuatkuasa awal Januari ini seperti yang terkandung dalam Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Menurutnya, sebanyak 13 aktiviti membabitkan haiwan yang perlu dilesenkan, namun di peringkat fasa pertama, empat daripadanya akan dikuatkuasakan terlebih dahulu.

Katanya, fasa pertama penguatkuasaan membabitkan aktiviti penginapan haiwan,menunggang dan mengepung haiwan,tempat perlindungan haiwan dan jualan haiwan hidup dalam kurungan.

“Kita berharap pihak yang terbabit dalam aktiviti haiwan mendapatkan lesen sebelum Jun ini sebelum penguatkuasaan diadakan termasuk mengenakan tindakan undang-undang,” katanya kepada pemberita pada sidang media DVS Laksanakan Penguatkuasaan Pelesenan Aktiviti Membabitkan Haiwan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Regulatori DVS, Dr Mohamad Razali Abdul Razak.

Keputusan penguatkuasaan itu adalah selari dengan kehendak Seksyen 15 Akta Kebajikan Haiwan 2015 Peraturan-Peraturan Kebajikan Haiwan (Fi Pelesenan) 2021 dan melalui keputusan dasar yang telah diluluskan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI) dan DVS.

Mengulas lanjut Noorlizan berkata, membudayakan amalan kebajikan haiwan bukanlah ekslusif kepada sesuatu pihak sahaja tetapi ianya bersifat inklusif di mana setiap individu di negara ini mempunyai tanggungjawab bersama.

Katanya, adalah menjadi kewajipan manusia untuk memberi perlindungan, penjagaan yang baik, sentiasa bersikap belas kasihan kepada haiwan termasuk memastikan makan minum yang cukup serta menghindar kezaliman, melindungi dari kecederaan, menyediakan tempat tinggal yang sesuai.

Tambahnya, sebagai sebuah negara yang menganggotai Pertubuhan Kesihatan Se Dunia (OIE) Malaysia perlu mematuhi piawaian yang ditetapkan bagi pengurusan haiwan di negara ini.

“Individu yang gagal mematuhi peraturan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15(3) Akta Kebajikan Haiwan 2015 denda sekurang- kurangnya RM15,000 maksimum RM75,000 atau dikenakan penjara selama dua tahun,” ujarnya. – MalaysiaGazette