Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) memperkenalkan tujuh pemacu bagi menggandakan pertumbuhan negeri kurang membangun terutama Sabah dan Sarawak bagi merapatkan jurang pembangunan.

Antara inisiatif yang dikenalpasti termasuklah agihan sekurang-kurangnya 50% daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas persekutuan kepada enam negeri kurang membangun, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, beberapa isu dan cabaran yang masih memberi kesan kepada pertumbuhan wilayah dan negeri adalah tumpuan berlebihan kepada aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai ditambah yang rendah; insiden kemiskinan yang masih tinggi; ekosistem sokongan yang tidak mencukupi; penerimagunaan teknologi yang rendah dan liputan telekomunikasi dan jalur lebar yang masih kurang.

Justeru, beberapa strategi utama telah dikenal pasti untuk mempertingkat keseimbangan dan keterangkuman wilayah iaitu seperti menarik pelaburan berkualiti; menambah baik ekosistem perniagaan; mempercepat penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan; mempelbagai dan merancakkan aktiviti ekonomi; mempelbagai dan merancakkan aktiviti ekonomi bagi meningkatkan pendapatan komuniti luar bandar dan mengurangkan insiden kemiskinan; dan mempertingkat pembangunan koridor ekonomi wilayah bagi mempercepat pembangunan sosioekonomi dan mengurangkan ketidakseimbangan antara wilayah dan negeri.

”Usaha ini dapat dicapai melalui pembangunan berasaskan nod pertumbuhan utama dan kawasan titik tumpuan dengan menumpukan kepada beberapa aktiviti ekonomi yang terpilih.

”Langkah untuk menarik pelaburan berkualiti, terutama di wilayah yang kurang membangun akan dipergiat dan ekosistem perniagaan akan terus ditambah baik. Negeri juga akan digalakkan untuk memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi,” katanya semasa berucap di majlis perasmian siri webinar RMK-12 Peranan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Koridor Dalam Pembangunan Wilayah dan Negara.

Mustapa berkata, program pembangunan strategik pada peringkat wilayah dan negeri akan dilaksana melalui inisiatif yang dipacu oleh kerajaan negeri dan projek yang diterajui oleh sektor swasta.

Selain itu, kerjasama yang lebih baik dengan agensi di peringkat Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, termasuklah dengan Pihak Berkuasa Koridor akan terus diperkukuh manakala kerjasama yang erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta sektor swasta akan mewujudkan sinergi dan ekosistem pembangunan yang komprehensif dan bersepadu dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang lebih seimbang.

Bagi melonjakkan kemampanan, kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Koridor disaran untuk menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam perancangan pembangunan dan pelaburan. Pembangunan rendah karbon dan berdaya tahan hendaklah dipertingkat sebagai usaha untuk mengurangkan risiko bencana.

Peralihan kepada ekonomi kitaran perlu dipergiat bagi mengurangkan pencemaran, penjanaan sisa dan kebergantungan kepada sumber asli.

Manakala usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian khazanah semula jadi negara hendaklah diteruskan. Kerajaan akan menambah baik mekanisme pemindahan fiskal ekologikal (EFT) bagi menyokong usaha kerajaan negeri memelihara kawasan hutan.

Di samping itu, bagi mewujudkan sinergi pembangunan yang bersepadu dan menangani keperluan pembangunan wilayah secara menyeluruh, pembangunan di lima koridor ekonomi wilayah akan terus diberi perhatian.

Peranan Pihak Berkuasa Koridor akan dilibatkan dalam mempercepat pembangunan strategik di wilayah untuk mencapai pembangunan wilayah yang lebih seimbang dan inklusif.

Tumpuan akan diberi kepada pelaksanaan projek yang berimpak tinggi untuk menarik pelaburan berkualiti di wilayah dengan akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan yang akan mengurangkan jurang sosioekonomi rentas wilayah dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat. – MalaysiaGazette