KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Nasional (PAN) menawarkan khidmat guaman secara pro bono kepada peserta yang menyertai Demonstrasi Aman #TangkapAzamBaki dan Rombak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di kompleks beli-belah Sogo, Sabtu ini.
Peguamnya, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda berkata, sekurang-kurangnya 10 hingga 20 peguam akan ditempatkan dalam perhimpunan itu bagi membantu peserta yang dikenakan intimidasi kerana menyertai perhimpunan aman itu.
“Kami bukan setakat menyatakan komitmen untuk memobilisasi seramai mungkin Pemuda PAN ke Sogo tetapi kami juga akan menyediakan sekurang-kurangnya 10 peguam pada hari kejadian.
“Peguam-peguam ini akan menjadi pemerhati bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang serta himpunan ini berjalan dengan teratur, aman dan mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya pada sidang media di Wisma Amanah Negara, di sini, hari ini.
Semalam, Timbalan Presiden PAN, Datuk Sallahuddin Ayub dan naib presiden, Datuk Mahfuz Omar menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri mendesak siasatan segera dijalankan ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berhubung isu pemilikan saham bernilai jutaan ringgit.
Dalam pada itu, khidmat guaman secara pro bono itu akan membantu Adam Adli yang akan dipanggil untuk siasatan pihak polis berhubung kumpulan penganjur #TangkapAzamBaki, Khamis ini.
“Peguam Muda PAN menawarkan khidmat guaman secara pro bono kepada mana-mana anak muda tidak kira penganjur sahaja.
“Bahkan mereka yang hanya menyebarkan apa-apa poster berkenaan #TangkapAzamBaki dan mendesak supaya tindakan intimidasi seperti ini dihentikan segera,” katanya lagi. – MalaysiaGazette