Mohamad Shafiq Abdul Halim
Mohamad Shafiq Abdul Halim

KUALA LUMPUR – Tiada keperluan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam masa terdekat kerana rakyat dalam proses memulihkan kehidupan selepas dilanda banjir dan Covid-19.

Ahli Jawatankuasa Jabatan Penerangan Bersatu Malaysia (JPBM), Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, walaupun kerajaan memberi bayangan PRN Johor boleh diadakan namun tiada jaminan penularan pandemik terkawal.

“Walaupun Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi bayangan PRN Johor boleh diadakan berdasarkan situasi terkini penularan Covid-19.

“Namun ia tiada jaminan bahawa jika PRN diadakan keadaannya masih sama tambahan pula suasana negara yang masih ada varian Omicron,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad memberi bayangan untuk mempertimbangkan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor susulan kerajaan mempunyai kelebihan hanya satu kerusi.

Kedudukan kerajaan Johor yang mempunyai majoriti amat tipis dengan hanya satu kerusi boleh membuatkan kerajaan negeri dikhuatiri bertambah tidak stabil.

Ia susulan kematian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember lepas dan kerajaan negeri  kini dipimpin Barisan Nasional (BN) mempunyai 16 kerusi, Bersatu (11), Pas (satu) dengan 28 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) mempunyai 27 kerusi.

Dalam pada itu, Mohamad Shafiq menolak kemungkinan Kerajaan Johor sedia mengekalkan barisan exco sedia ada melainkan ada beberapa tokoh politik yang rakus terhadap kuasa dan ketagihan jawatan selepas tewas pada PRU-14 sebelum ini.

“Pembubaran DUN Johor akan melibatkan kos perbelanjaan tinggi yang sepatutnya disalurkan untuk membantu rakyat kini berada dalam kesusahan dan berhadapan inflasi akibat dari kenaikan harga barang dan utiliti.

“Adakah demi merawat penagih kuasa dan jawatan rakyat harus dikorbankan? Mereka sepatutnya bermesyuarat untuk memberi rawatan pemulihan kepada kluster ini dan mengutamakan rakyat, bukan melayani kehendak penagih-penagih jawatan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette