The school session for 10 schools had to be postponed for three days beginning tomorrow following the air pollution due to the fire at the Pulau Burung landfill
Keadaan kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Pulau Pinang. - Gambar ihsan JAS

NIBONG TEBAL – Sesi persekolahan 10 buah sekolah di sini, ditangguhkan selama tiga hari bermula esok susulan pencemaran udara akibat kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung.

Antara sekolah terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, SMK Methodist, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa, SK Keledang Jaya, SK Methodist serta SK Nibong Tebal.

Turut terlibat, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram, SJKT Ladang Changkat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Teik, SJKT Nibong Tebal.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, penangguhan itu dibuat atas faktor keselamatan penduduk, pelajar serta warga kerja sekolah susulan kebakaran tapak pelupusan sampah mengakibatkan pencemaran udara.

Jelas beliau, keputusan itu dibuat hasil kata sepakat dalam Mesyuarat Bencana Daerah yang berlangsung semalam selepas dipanjangkan kepada Bahagian Pendidikan Sekolah Harian (BPSH) dan Pengarah Pendidikan Negeri.

Phee Boon Poh

“Tindakan ini diambil susulan indeks kepekatan udara di sekolah-sekolah dalam lingkungan radius 10 kilometer memberi kesan kepada kesihatan dan mengancam nyawa penduduk.

“Sepanjang tempoh tersebut murid-murid akan melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) manakala sesi pembukaan semula sekolah pula, akan dimaklumkan selewat-lewatnya pada 22 Januari berdasarkan keputusan yang akan dibuat Jawatankuasa Bencana daerah Seberang Perai Selatan.

“Selain itu, pihak sekolah juga diminta memaklumkan penutupan operasi 10 sekolah ini kepada pengusaha kantin, pengusaha bas dan pihak-pihak yang berkaitan untuk tindakan persediaan awal,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Boon Poh, penduduk dan warga sekolah juga diminta untuk mengurangkan aktiviti luar dan segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan sekiranya tidak sihat.

Untuk rekod, tapak pelupusan sampah berkeluasan 16.19 hektar dilaporkan terbakar dalam kejadian jam 4.43 petang pada 12 Januari lalu namun sehingga kini pemadaman secara keseluruhan masih belum dapat dilakukan.

Anggaran keluasan yang terbabit dengan kebakaran adalah 6.5 hektar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast