Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengambil langkah kesiapsiagaan menghadapi sebarang peningkatan kes Covid-19 dalam masa terdekat.

Antaranya menggunakan hospital daerah sebagai hospital hibrid untuk merawat pesakit kategori satu hingga tiga, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, biar pun jangkitan varian Omicron dilihat kurang serius berbanding penularan varian Delta namun kadar kebolehjangkitannya amat tinggi.

“Varian ini boleh menyebabkan peningkatan kemasukan pesakit yang memerlukan rawatan untuk tempoh yang singkat di hospital terutamanya daripada kalangan pesakit yang berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan komorbid, dan juga kanak-kanak yang seterusnya memberi tekanan kepada sistem perkhidmatan hospital.

“KKM juga bersedia merujuk pesakit COVID-19 kategori empat dan lima ke hospital berpakar; pesakit COVID-19 yang stabil akan dipantau di rumah melalui Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) sehingga selesai tempoh pengasingan; dan menggunakan ubat antiviral yang telah dikenal pasti lebih awal di peringkat CAC dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC),” katanya dalam kenyataan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau juga menambah, penglibatan setiap individu dan semua pihak menerusi whole government, whole society approach sangat penting bagi menentukan sama ada lonjakan kes Covid-19 disebabkan varian baharu dapat dibendung atau tidak.

Sehubungan itu, KKM menyeru pada orang ramai supaya sentiasa mengamalkan dan memperkukuhkan kawalan kendiri, terus mematuhi SOP, dan segera mendapatkan vaksin (dos 1, dos 2, dan dos penggalak) supaya kes  pandemik dalam keadaan terkawal.

Mengulas berhubung situasi semasa Covid-19, Dr. Noor Hisham berkata, Malaysia merekodkan trend peningkatan terhadap purata kes aktif Covid-19 bagi Minggu Epidemiologi kedua (ME 2/2022) dari 9 hingga 15 Januari lalu.

Beliau berkata purata kes aktif dilihat meningkat sebanyak 2.4 peratus kepada 39,507 kes pada ME 2/2022 daripada 38,581 kes pada ME pertama (ME 1/2022) (2 hingga 8 Januari).

“Peningkatan kes baharu pula catat sebanyak 0.7 peratus iaitu daripada 21,859 kes (ME 1/2022) kepada 22,006 kes (ME 2/2022).

“Bagaimanapun, kes kematian catat penurunan yang konsisten sebanyak 11.3 peratus dengan 126 kematian pada (ME 2/2022) berbanding 142 kematian pada (ME 1/2022). Penurunan ini dicatatkan mulai (ME 52/2021),” katanya.

Petugas kesihatan merawat pesakit Covid-19 ketika tinjauan eksklusif Malaysia Gazette di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 04 JUN 2021.

Sementara itu, bagi kes yang memerlukan rawatan di ICU juga menunjukkan purata penurunan sebanyak 8.0 peratus iaitu 185 kes (ME 2/2022) berbanding 201 kes (ME 1/2022), penurunan berterusan secara konsisten itu dilaporkan sejak sembilan minggu lepas pada ME 45/2021.

Mengenai kluster penularan COVID-19 pula, Dr Noor Hisham berkata pada ME 2/2022, kebanyakan kategori kluster menunjukkan tren peningkatan berbanding ME 1/2022, kecuali bagi kluster tempat kerja dan kluster import .

Sebanyak 15 daripada 43 kluster baharu dilaporkan pada ME 2/2022 melibatkan pusat pendidikan, 10 (tempat kerja), sembilan (komuniti), lima (kumpulan berisiko tinggi), tiga (import) dan satu (keagamaan).

“Kluster pendidikan dan kluster komuniti meningkat secara mendadak sebanyak 400 peratus dan 350 peratus pada ME 2/2022 berbanding ME 1/2022 susulan pembukaan semula sesi persekolahan di seluruh negara bermula pada 9 Januari yang lalu.

“Peningkatan kluster pendidikan perlu diambil serius oleh semua pihak kerana ia boleh mengakibatkan jangkitan lebih meluas dalam kalangan pelajar, guru, pekerja di institusi pengajian, ahli keluarga mereka dan seterusnya merebak ke komuniti,” ujarnya. – MalaysiaGazette