KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PMM) menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad  bertanggungjawab menyelesaikan polemik berkaitan isu hakim kanan syarie.

Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, ia harus diseleaikan segera supaya jabatan itu tidak mengalami defisit kepercayaan daripada orang awam sebagaimana dialami beberapa institusi lain.

“Polemik berbalas kenyataan di media ini telah menyerlahkan perpecahan dalam kalangan kepimpinan tertinggi syariah di Malaysia.

“Ia memburukkan lagi persepsi masyarakat terhadap institusi ini sementelahan dengan isu hakim kanannya yang masih belum diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, peguam masing-masing juga berbalas kenyataan dan PPMM memandang ini sebagai serius.

“Demi mengembalikan nama baik institusi ini, adalah wajar permasalahan ini diselesaikan secara baik mengikut ajaran Islam.

“Sedangkan lidah lagikan tergigit, apatah lagi sesama rakan sekerja.

“Penyelesaian ini haruslah dilakukan seumpama menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerakan,” katanya lagi.

Jelasnya, dengan mengambil roh penyelesaian pertikaian secara baik atau perdamaian yang sentiasa diamalkan di dalam kehakiman Islam iaitu sulh, PPMM mencadangkan agar Menteri Agama memandang serius untuk menyelesaikan polemik perpecahan dalaman ini.

“PPMM percaya perpecahan ini telah lama membarah tetapi tidak diendahkan oleh pihak berwajib.

“Hakam yang berwibawa dalam kalangan mediator bertauliah bukan terdiri daripada pengamal undang-undang dan kehakiman wajar dilantik untuk memudahkan perjalanan perbincangan kesemua pihak,” katanya.

Zainul Rijal turut menyeru menyeru semua pihak supaya tidak menggunakan media bagi menegakkan pendirian masing-masing, kembali ke meja rundingan untuk berbincang demi memelihara integriti, kewibawaan dan maruah mahkamah syariah.

“Apabila sesuatu agensi menjadikan media sosial dan media utama sebagai alat untuk meluahkan permasalahan dalaman mereka, integriti agensi tersebut akan mula dipertikaikan.

“Masyarakat menilai dengan pelbagai anggapan yang mana buruk biasanya akan mengatasi yang baik.

“PPMM melahirkan rasa dukacita dengan penularan isu status moral seorang hakim kanan syariah baru-baru ini.

“Kes tersebut telahpun berada di dalam siasatan Polis Diraja Malaysia ketika ini dan kami akur serta menanti hasil siasatan tersebut dan tidak mahu mengambil pendirian ataupun mendahului siasatan polis,” katanya.

Sebelum ini, wujud dakwaan jenayah moral membabitkan nama Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar merangkap Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syarie Malaysia, baru-baru ini.  -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast