Beberapa pengguna jalan raya mula menggunakan sistem Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2022.

KELAM kabut keadaan di plaza tol di seluruh negara apabila pengguna tersekat kerana sistem yang menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) tidak berfungsi seperti yang diharapkan.

Rata-rata pengguna meluahkan rasa geram kerana terperangkap begitu lama selepas sistem yang mula dilaksanakan bagi kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) semalam tidak dapat mengesan kenderaan yang melaluinya.

Sehingga hari ini sistem itu masih menyebabkan pergerakan ribuan kenderaan di beberapa Plaza Tol Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) terjejas dan menimbulkan kesesakan di kedua-dua hala. Tambahan banyak lorang SmartTAG dan Touch n Go ditutup bagi membuka laluan kepada RFID.

Bermula 15 Januari 2022, transaksi tol menggunakan teknologi Radio Frequency Identification (RFID) akan dilaksanakan untuk kenderaan ringan persendirian.- Gambar hiasan.

Teknologi RFID untuk memudahkan pengguna lebuh raya  

Sistem RFID diperkenalkan sejak September 2018 dengan program perintis dijalankan di Lembah Kelang, Johor dan Pulau Ponang.

RFID melibatkan pemasangan cip bersaiz kecil pada pelekat khas atau dalam kenderaan yang berfungsi sama seperti pembayaran elektronik Touh n Go (TnG) atau SmartTAG di plaza tol.

Tag RFID akan menghantar informasi yang diperlukan kepada pengimbas RFID dan pertukaran informasi berlaku dengan cara kod.

Apabila kereta melalui lorong RFID, pengimbas akan mengeluarkan isyarat kepada tag RFID melalui antena.

Tag tersebut kemudiannya memberikan informasi yang sepatutnya seperti baki semasa, dan jumlah bayaran tol yang akan ditolak daripada akaun elektronik pengguna (seperti TnG eWallet) yang dipautkan kepada tag RFID.

Sistem tersebut menawarkan aspek isyarat yang stabil, dengan waktu maklum balas yang pantas, dan pada masa yang sama ia juga adalah kos efektif untuk digunakan. Jarak pengimbasan RFID boleh meliputi kawasan yang lebih luas, tetapi ia masih bergantung kepada sistem serta keperluannya.

Sistem ini sepatutnya memudahkan pengguna kerana mereka tidak lagi perlu berhenti untuk membayar tol. Malangnya keadaan itu tidak seperti yang dihasratkan ketika ia dilancarkan semalam.

Pengguna yang belum bersedia atau RFID belum bersedia

Kegagalan sistem RFID berfungsi seperti yang dihasratkan  menimbulkan dua persoalan.

Pertama, sama ada pengguna belum bersedia untuk menerima sistem pembayaran tol yang baharu bagi menggantikan TnG dan SamrtTAG atau syarikat pelaksana teknologi tersebut yang tidak bersedia.

Mohammad Hisham Shafie

Presiden Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan,  Mohammad Hisham Shafie, sistem RFID masih belum lagi bersedia untuk menerima jumlah pengguna lebuh raya yang banyak.

“Sistem RFID masih belum lagi bersedia untuk menerima jumlah pengguna lebuh raya yang banyak.

“Kalau anda mahu melaksanakan satu-satu sistem untuk pengguna, anda kena pastikan sistem itu boleh menerima jumlah pengguna yang ramai.  Bila trafik begitu tinggi, sistem itu tidak bersedia terjadilah kesesakan.

“Dua tahun diuji, kenapa kita boleh terima Touch n Go, kenapa rakyat boleh terima SmartTAG walaupun alat itu perlu dibeli hingga RM180 kenapa. Sebab sistem itu bagus.

“Kenapa dengan harga RM35 kita tak hendak beli RFID. Sebab apa? Sebab sistem itu belum bersedia. Bukan sebab rakyat tidak boleh bayar tetapi selama dua tahun ini kita dengar berbagai rungutan tentang RFID,” katanya.

Mohammad Hisham turut mempersoalkan mengapa terdapat palang pada laluan RFID yang sepatutnya pengguna boleh keluar terus tanpa perlu berhenti.

Katanya, sistem yang sama turut digunakan di Singapura tidak menggunakan palang untuk menyekat pengguna dalam memastikan mereka membayar tol.

“Ramai yang mempersoalkan kenapa letak palang. Sedangkan RFID ini canggih. Kita letak palang, palang tidak terbuka kerana sistem tidak dapat mengesan RFID. Dia sendiri ragu-ragu dengan sistem dia, sebab itu anda bubuh palang.

“Sedangkan di negara luar bila menggunakan RFID mereka tidak meletakkan palang,” kata Mohammad Hisham sambil ketawa.

Katanya, pengguna RFID tidak dapat melakukan apa-apa apabila palang tidak dibuka dan terpaksa mengundurkan kenderaan untuk masuk ke laluan tol yang lain.

Tambah Mohammad Hisham, dunia berubah, masa berubah, teknologi berubah dan pihaknya mengalu-alukan perubahan tetapi perlu beri peluang kepada pengguna untuk memilih sistem yang mereka selesa gunakan.

Beri pengguna pilihan 

Pandangan yang sama turut dikongsi oleh Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George yang berpendapat pengguna perlu diberi pilihan sama ada untuk menggunakan Touch n Go, SmartTAG ataupun RFID.

Dr. Jacob George

Dr. Jacob berkata, sejak bertahun lamanya pengguna telah melabur untuk menggunakan Touch n Go dan SmartTAG dan kini tiba-tiba mereka diperkenalkan dengan RFID.

“Jika RFID lebih dasyat orang nak cepat seperti filem Star Trek nak keluar dari tol itu terpulang kepada mereka.

“Saya tidak ada masalah RFID menjadi satu perkhidmatan yang digunakan oleh masyarakat pengguna. Biarlah pengguna pilih perkhidmatan yang mereka mahu.

“Jangan beku satu-satu perkhidmatan untuk memberi laluan memperkasakan RFID itu menunjukkan niat jahat. Kita tidak boleh terima itu,” kata Dr. Jacob ketika dihubungi.

Jelasnya, pihak terbabit seharusnya membuat perbincangan dengan kumpulan yang berkepentingan sebelum melaksanakan sesuatu sistem seperti RFID yang turut melibatkan masyarakat pengguna.

Malah pihaknya tidak teragak-agak untuk membawa isu itu ke mahkamah jika pengguna dipaksa menggunakan sesuatu perkhidmatan yang mereka tidak perlukan.

“Soalan pertama, adakah projek ini untuk pengguna ataupun untuk kroni? Atau untuk perniagaan.Jika ini untuk perniagaan, di mana pula keutamaan kita untuk prihatin Keluarga Malaysia.

“Apa yang akan jadi dengan deposit-deposit yang ada di dalam Touch n Go dan SmartTAG pengguna. Itu pun duit juga. Pengguna telah melabur?” tanya beliau.

Dr. Jacob juga menegaskan tidak sepatutnya ada monopoli dalam satu-satu perkhidmatan termasuk pembayaran tol.

Seorang pengguna sistem Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) terpaksa menggunakan kad Touch N Go selepas dipercayai pelekat RFID miliknya tidak berfungsi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2022.

Selesaikan segera masalah tol

Apapun, isu pembayaran tol ini perlu diselesaikan dengan segera oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch ‘n Go.

Ini kerana penggunaan lebuh raya amat penting bagi masyarakat pekerja terutama di Lembah Kelang yang melaluinya setiap hari untuk pergi kerja dan balik ke rumah.

Kesesakan di lebuh raya dan di jalan raya atau di plaza tol adalah perkara yang amat mereka mahu elakkan selepas penat bekerja sepanjang hari.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast