MELAKA – Polis memburu tiga lelaki yang melarikan diri ketika cuba ditahan sebuah Unit Kereta Peronda (MPV) sebelum memecut dan mengakibatkan kemalangan di simpang tiga Stadium Hang Jebat, Krubong, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, suspek yang memandu kereta jenis Proton Iswara dilihat dalam keadaan mencurigakan di simpang lampu isyarat Kelemak-Lendu, Alor Gajah.
Menurutnya, ketika cuba ditahan, pemandu kereta memecut laju sehingga ke simpang tiga Stadium Hang Jebat sebelum melanggar sebuah Perodua Viva dipandu wanita berusia 30-an ketika cuba membuat pusingan U.
“Ketiga-tiga suspek lelaki bagaimanapun berjaya melarikan diri sejauh kira-kira 300 meter berhampiran kawasan semak dibahu jalan.
“Usaha mencari sedang giat dilakukan sejak semalam hingga ke hari ini termasuk menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9). Kita percaya laluan semak itu membawa mereka ke arah pasar raya di Cheng atau kawasan flat berhampiran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, pemandu Perodua Viva berkenaan bagaiamanpun hanya mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
“Semakan lanjut mendapati, kenderaan Proton Iswara digunakan ketiga-tiga lelaki berkenaan berdaftar atas nama seorang wanita beralamat di Seremban, Negeri Sembilan.
“Siasatan sudah dijalankan sama ada pemilik kereta ini mengenali ketiga-tiga individu berkenaan dengan dua daripada mereka berambut panjang, manakala seorang berambut pendek berusia awal 30-an,” katanya. – MalaysiaGazette