KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah Negara mengingatkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) agar tidak mengulangi kesilapan sama dengan mempertahankan mana-mana individu yang didapati terlibat dengan skandal kewangan sebelum ini.
Pengarah Mobilisasinya, Abbas Azmi menegaskan, jika perkara itu terus berlaku, ia hanya dilihat cubaan untuk melindungi individu tertentu, apatah lagi melibatkan penjawat awam berjawatan tinggi.
“Dulu ada duit masuk dalam akaun RM2.6 bilion seorang individu, tapi dia tak mengaku dia kata Raja Saudi yang masukkan duit RM2.6 bilion.
“Sama juga macam hari ini, tiba-tiba SC keluarkan kenyataan seolah-olah nak melindungi kepada apa yang berlaku kepada Tan Sri Azam Baki.
“Ayat yang dikeluarkan oleh SC itu sangat umum, sebab itu skrip berulang kembali dan kita tak mahu lagi berlakunya skandal-skandal seperti mana RM2.6 bilion yang lepas 1MDB dan SRC.
“Sebab itu kita minta Tan Sri Azam Baki ini direhatkan dan diadili dengan sebaiknya,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.
Terdahulu beliau bersama Peguam Pemuda Amanah, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda dan Naib Ketua Pemuda Amanah, Ahmad Zubair Ab Rahim dipanggil ke IPD Dang Wangi, tengah hari tadi.
Mereka dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kenyataan mereka dalam satu sidang media mengenai Demonstrasi #TangkapAzamBaki yang dibuat di Wisma Amanah Negara, semalam.
Dalam pada itu, meskipun ketiga-tiga pemimpin Pemuda Amanah itu dipanggil polis hari ini, namun Abbas memberi jaminan lebih 1,000 ahli parti itu akan digerakkan ke pusat membeli belah, Sogo, bagi meneruskan perhimpunan aman itu, Sabtu ini.
“Setakat ini tiada arahan untuk menarik balik (demo) melainkan keadaan tidak mengizinkan seperti hujan lebat, banjir lag, yang lepas banjir konvensyen (Amanah) pun kita tangguh.
“Setakat ini Insya-Allah dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan kita Pemuda Amanah memberi komitmen untuk sama-sama dalam gerakan rakyat ini,” katanya.
Sementara itu Ahmad Zubair memberi jaminan Himpunan #TangkapAzamBaki Sabtu ini akan berjalan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengelakkan penularan Covid-19.
“Kita akan pastikan penganjur sentiasa menjaga SOP, apa juga aktiviti yang dilakukan pada hari kejadian berjalan mengikut lunas Perlembagaan.
“Perkara yang dilakukan oleh Tan Sri Azam Baki bukan isu kecil, kita tak mahu kegagalan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin diulang kembali dalam Kerajaan Keluarga Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette