National Unity Minister Datuk Seri Halimah Sadique showing the standard operating procedures (SOP) for Chinese New Year 2022 during a news conference at Putrajaya. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 19 JANUARY 2022 Chinese New Year's eve reunion dinner CNY open house
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique menunjukkan laporan garis panduan SOP Sambutan Tahun Baru Cina 2022 di Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 19 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara hari ini memaklumkan program makan besar pada malam sambutan Tahun Baru Cina dibenarkan kepada semua masyarakat Tiong Hua pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Halimah Mohamed Sadique berkata, bagaimanapun jamuan itu hanya dibenarkan kepada keluarga terdekat sahaja tanpa melibatkan orang luar.

“Selalunya jamuan makan besar bersama keluarga ini hanya dihadiri oleh ahli keluarga dan bukan sesiapa saja yang akan datang menyertai jamuan sedemikian,” katanya ketika mengumumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sempena sambutan Tahun Baru Cina 2022 di pejabatnya, hari ini.

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Dalam pada itu, sebarang majlis rumah terbuka bagi sambutan Tahun Baru Cina adalah tidak dibenarkan.

Halimah berkata, hanya majlis resepsi Tahun Baru Cina dibenarkan untuk dianjurkan bagaimanapun ia hanya dibenarkan dibuat di ruang tertutup dan melibatkan jemputan yang terhad.

“Yang dipersetujui oleh jawatankuasa protem dan Kementerian Kesihatan (KKM) ialah jamuan tertutup Tahun Baharu Cina, yang hanya dibenarkan kepada mereka yang mendapat jemputan saja. Tidak ada sesi berterusan berkali-kali, hanya sekali sahaja,” katanya lagi.

Kebenaran itu diberikan dengan kapasiti 50 peratus ruang dan mesti mengamalkan penjarakan fizikal.

“Persembahan tarian singa dan naga dibenarkan dan tertakluk kepada SOP Industri Kreatif,” katanya lagi.

Selain itu, turut dibenarkan adalah upacara sembahyang khas diadakan pada 1 dan 2 Februari ini di rumah ibadat dengan mengikut SOP Pembukaan Rumah Ibadat dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat.

Turut dibenarkan adalah sembahyang khas masyarakat Hokkien pada 8 dan 9 Februari dan sembahyang Chap Goh Mei pada 15 Februari dan mesti mengikut SOP Pembukaan Rumah Ibadat Selain Islam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast